Penemuan mayat: Mangsa dibunuh di lokasi lain, mayat di buang tepi jalan - Polis

8 Oct 2026 • 2:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penemuan mayat: Mangsa dibunuh di lokasi lain, mayat di buang tepi jalan - Polis
Polis mengesahkan terdapat kesan jerutan dan tetak pada beberapa bahagian tubuh lelaki yang ditemui mati di tepi jalan.

SUNGAI SIPUT - Polis mengesahkan terdapat kesan jerutan dan tetak pada beberapa bahagian tubuh lelaki yang ditemui mati di tepi jalan, Jalan Kampung Air Hitam, Sungai Sejuk di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Charan Ai Wan berkata, laporan itu diperolehi hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

"Hasil bedah siasat mendapati kesan jerut pada leher menjadi punca utama kematian mangsa.

"Terdapat juga kesan luka hiris dan luka tetak pada muka, leher dan dada dipercayai menggunakan objek tajam, selain lebam pada kedua-dua tangan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, mangsa dikenal pasti sebagai warga tempatan berusia 53 tahun.

Katanya, siasatan awal turut mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampakkan di tempat kejadian.

"Mayat mangsa telah dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang ke Bandar Puchong Jaya, Puchong, Selangor," katanya.

Tambah beliau, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan usaha mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, mangsa ditemukan oleh orang awam dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di tepi jalan berkenaan.

Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah meninggal dunia dipercayai dibunuh.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved