
PENEMUAN spesies baharu dalam dunia sains bukanlah sesuatu yang berlaku setiap hari. Apatah lagi, jika ia membabitkan mamalia yang selama ini dianggap telah diketahui dan didokumentasikan.
Namun, sekumpulan penyelidik antarabangsa berjaya mencatat penemuan luar biasa apabila mengenal pasti spesies kucing liar baharu di hutan awan Yungas, Bolivia.
Dikenali sebagai Leopardus tilcayo atau tilcayo, spesies berkenaan menjadi kucing liar pertama yang dijumpai secara rasmi oleh saintis dalam tempoh lebih satu abad.
Penemuan itu diketuai oleh Peneroka Geografi Kebangsaan, Paola Nogales Ascarrunz menerusi kajian yang menggabungkan kaedah moden penjujukan genom (proses penentuan ujian asid deoksiribonukleik) dengan penelitian terhadap spesimen muzium.
Penyelidik membandingkan bahan genetik daripada spesimen tulang yang disimpan di muzium dengan sampel genetik daripada haiwan masih hidup.
Analisis yang dikongsikan National Geographic itu mendedahkan bahawa kumpulan kucing daripada spesies Leopardus yang mendiami Amerika Selatan sebenarnya merangkumi lima spesies berbeza, termasuk tilcayo.
“Dari segi fizikal, tilcayo mempunyai ciri yang cukup unik berbanding kucing liar lain. Haiwan berkenaan mempunyai berat sekitar 1.4 kilogram, menjadikannya lebih kecil berbanding kebanyakan kucing peliharaan.

“Bulu tilcayo pula kelihatan agak pudar dengan corak bintik yang jauh lebih besar.
“Keunikan ciri fizikal itu digabungkan dengan bukti genetik, membantu penyelidik membezakan tilcayo daripada spesies kucing liar lain yang mempunyai persamaan dari segi rupa,” kongsinya.
Pada waktu ini, hanya seekor kucing jantan diketahui berada dalam jagaan manusia dan ditempatkan di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Senda Verde di Yungas selepas dibawa ke pusat tersebut pada 2017.
Menariknya, nama tilcayo bukanlah nama yang dicipta semata-mata oleh komuniti saintifik.
Sebaliknya, ia diambil daripada sebutan masyarakat tempatan yang sudah lama mengenali kewujudan kucing tersebut di kawasan berkenaan.
Hal ini memperlihatkan pengetahuan masyarakat tempatan dalam membantu memahami kepelbagaian biodiversiti yang terdapat di sesuatu kawasan.
Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai spesies itu, Ascarrunz turut memasang kamera di kawasan hutan Yungas bagi merakam kehadiran tilcayo di habitat semula jadinya.
Usaha itu penting untuk membantu penyelidik memahami taburan, tingkah laku dan keadaan populasi spesies berkenaan.
Lebih daripada sekadar penambahan kepada senarai biodiversiti dunia, penemuan tilcayo turut membuka lembaran baharu dalam pemahaman saintifik mengenai evolusi kucing liar di Amerika Selatan.
Pada masa sama, penemuan itu menonjolkan kepentingan hutan awan (cloud forest) Yungas sebagai habitat penting bagi spesies yang sukar ditemui dan mempunyai taburan terhad.
Pengiktirafan terhadap Leopardus tilcayo diharap dapat meningkatkan perhatian terhadap usaha pemuliharaan spesies berkenaan, khususnya ketika ekosistem semula jadi berdepan pelbagai tekanan akibat perubahan persekitaran.
Penemuan itu menjadi peringatan bahawa kemajuan sains dan teknologi masih belum mampu mengungkap seluruh rahsia alam.
Di sebalik hutan yang kelihatan sunyi dan terpencil, berkemungkinan masih tersembunyi spesies belum dikenal pasti oleh manusia.
Justeru, pemeliharaan habitat semula jadi bukan sekadar melindungi alam sekitar, malah dapat memastikan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai itu terus wujud untuk generasi akan datang.
The post Penemuan spesies kucing liar baharu selepas 100 tahun appeared first on Kosmo Online.





