Penerbangan terus KL-Haikou perkukuh rangkaian antarabangsa KLIA ke China

04/06/2025 - 15:12
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 4 Jun - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memperluaskan jaringan antarabangsa dengan pelancaran penerbangan terus sulung Hainan Airlines ke Haikou, China pada 30 Mei lalu.
Perkhidmatan yang beroperasi empat kali seminggu itu adalah sebahagian daripada usaha strategik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk mengukuhkan hubungan dengan China, salah satu pasaran sasaran utama bagi perkembangan rangkaian pengendali lapangan terbang itu.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, laluan Kuala Lumpur–Haikou ini mencerminkan usaha strategik dalam memperkuat rangkaian KLIA.
"Pengembangan laluan ini mengukuhkan peranan kami sebagai pengendali lapangan terbang yang memacu pertumbuhan melalui peningkatan aksesibiliti, sekali gus menyokong perdagangan, pelancongan, dan pembangunan ekonomi.
"China kekal sebagai keutamaan KLIA dan perkhidmatan baharu ini dalam melangkah ke hadapan bagi memperbaiki akses antara kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, ia membuka hubungan perjalanan tanpa henti bagi penumpang transit melalui Haikou ke lebih 50 bandar di China serta destinasi utama dunia seperti London, Bangkok, Tokyo, dan Hong Kong.
Penerbangan terus itu memberikan kemudahan akses yang cepat dan mudah kepada pelancong Malaysia ke Hainan.
Haikou semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai pintu masuk strategik bagi penerbangan dari China ke Asia Barat, dengan sambungan mudah ke destinasi seperti Dubai dan Jeddah.- DagangNews.com
standard


