Ramssol jalin kerjasama strategik RM16.8 juta dengan firma AI China, iFlytek

TechnologyBusiness & Finance
4 Jun 2025 • 9:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ramssol jalin kerjasama strategik RM16.8 juta dengan firma AI China, iFlytek

image is not available

04/06/2025 - 09:55

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 4 Jun – Ramssol Group Bhd menandatangani perjanjian kerjasama bernilai RM16.8 juta selama tiga tahun dengan syarikat kecerdasan buatan (AI) di China, iFlytek.

Menerusi kerjasama itu, Ramssol dilantik sebagai pengedar dan penjual sah rumusan perisian AI iFlytek menerusi platform terbuka iFlytek di seluruh Asia.

Platform itu diiktiraf dalam keupayaannya mengenal pasti pertuturan, terjemahan mesin, dan pemprosesan bahasa semula jadi, sekali gus menawarkan rumusan AI bagi menyokong transformasi digital pelbagai industri.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Brian Liew berkata, kerjasama itu mencerminkan kemajuan penting dalam keupayaan teknologi AI Ramssol serta komitmen syarikat untuk memperluaskan akses kepada rumusan AI canggih di Asia.

"Kami teruja untuk membawa teknologi pertuturan dan bahasa tercanggih ke rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden iFlytek Open Platform merangkap Presiden Perniagaan Luar Negara, William Zhou berkata, pihaknya melihat potensi besar untuk mempercepat penggunaan rumusan perniagaan berasaskan AI di rantau ini berdasarkan pengalaman dan kepakaran syarikat.

"Dengan pengiktirafan kerajaan ASEAN terhadap kepentingan AI dalam merangsang pertumbuhan ekonomi, peluang untuk menyokong perniagaan dan pengguna yang menuju ke arah masa depan teknologi adalah amat luas.

"Saya teruja memimpin pasukan pakar AI kami dan bersedia bekerjasama dengan Ramssol untuk membawa iFlytek ke tahap seterusnya di Asia," katanya.

Ramssol menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai langkah penting dalam strategi pengembangan serantau syarikat untuk menyampaikan aplikasi AI bertaraf perusahaan yang disesuaikan bagi pasaran pelbagai bahasa.

Ia selari dengan Pelan Tindakan ASEAN bagi AI Bertanggungjawab (2025–2030) yang menggariskan sasaran serantau dalam memacu penggunaan teknologi AI secara bertanggungjawab dan inklusif.

Ramssol akan menyediakan sokongan peringkat pertama dan kedua, perkhidmatan pelaksanaan, latihan pelanggan serta penyesuaian produk di seluruh Asia.- DagangNews.com

standard