PCG raih untung bersih RM414 juta pada suku kedua

Business & Finance
20 Aug 2026 • 6:34 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PCG raih untung bersih RM414 juta pada suku kedua

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG ) mencatatkan untung bersih sebanyak RM414 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, berbanding rugi bersih RM1.08 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, PCG melaporkan peningkatan hasil sebanyak 13 peratus kepada RM7.9 bilion, didorong oleh harga purata produk yang lebih tinggi merentasi portfolio komoditi dan bahan kimia khusus, disokong dengan sumbangan yang lebih baik daripada aktiviti penyumberan dan perdagangan strategik.

Kumpulan mencatatkan pendapatan yang memberangsangkan berdasarkan permintaan yang kukuh dan kepelbagaian produk yang lebih tinggi, meskipun telah menjalankan aktiviti penyelenggaraan terancang utama yang menyederhanakan jumlah pengeluaran dan jualan.

Bagi enam bulan pertama pula, PCG merekodkan untung bersih sebanyak RM815 juta berbanding rugi bersih RM1.09 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan sebanyak RM14.92 bilion daripada RM14.09 bilion.

Kumpulan juga mengistiharkan dividen interim sebanyak enam sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dengan dividen berjumlah RM 480 juta akan dibayar pada September 2026.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, operasi pada suku kedua mencabar berikutan kumpulan menjalankan aktiviti henti tugas berjadual utama di beberapa kemudahan di KIPC serta loji urea di Bintulu.

Ujarnya, syarikat terus mengekalkan komitmen terhadap operasi yang selamat dan boleh dipercayai dengan berjaya menyelesaikan aktiviti henti tugas berkenaan tanpa sebarang insiden keselamatan, kesihatan dan alam sekitar (HSE) utama.

“Walaupun jumlah jualan lebih rendah, PCG merekodkan prestasi kewangan yang lebih baik, disokong oleh peningkatan purata margin produk susulan konflik berpanjangan di Asia Barat.

“Kami berjaya memanfaatkan peningkatan pasaran dengan mengutamakan pelanggan domestik dan serantau, memaksimumkan peluang jualan spot, selain memanfaatkan aktiviti penyumberan strategik dan perdagangan bagi mengukuhkan pendapatan.

“Selain itu, inisiatif penciptaan nilai dan pengoptimuman kos menyumbang RM324 juta kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) setakat tahun ini, mencerminkan disiplin berterusan dalam mengurus kos dan memanfaatkan margin,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kumpulan kekal fokus kepada pelaksanaan yang selamat, disiplin operasi dan daya tahan perniagaan ketika membuat persiapan untuk satu lagi henti tugas berjadual utama di Loji 2 Petronas Chemicals Methanol Sdn. Bhd. serta meneruskan peningkatan operasi Pengerang Petrochemical Company Sdn. Bhd. pada suku ketiga.

Mengulas mengenai prospek, PCG berkata, persekitaran operasi pada 2026 dijangka kekal mencabar, didorong oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan dasar perdagangan serta ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan.

“Kumpulan akan terus memantau perkembangan tersebut dengan teliti dan melaksanakan langkah sewajarnya bagi mengurus portfolio serta prestasi operasinya.

“Segmen olefin dan derivatif dijangka kekal stabil, dengan harga dipengaruhi terutamanya oleh pergerakan kos bahan mentah serta kadar operasi pengeluar, susulan lebihan bekalan serantau yang berterusan dan keadaan pasaran yang kompetitif.

“Pasaran baja pula kekal positif, disokong oleh keperluan keselamatan makanan global, keadaan bekalan yang ketat serta permintaan import berterusan daripada pasaran utama seperti India dan Australia,” ujarnya.

Tambahnya, harga metanol dijangka kekal stabil berikutan asas penawaran dan permintaan yang seimbang, walaupun berdepan kemungkinan turun naik dalam permintaan serantau. – UTUSAN

The post PCG raih untung bersih RM414 juta pada suku kedua appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved