Pengalaman berbuka, pilih baju raya ceriakan 70 anak yatim dan asnaf

18 Mar 2026 • 8:02 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Pengalaman berbuka puasa di luar serta peluang memilih sendiri baju raya memberi keceriaan kepada 70 anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu menjelang Aidilfitri.

Mereka diraikan menerusi program Santuni Kasih Ramadan 2026 di Taema Bnglw, Ampang, sekali gus membolehkan penghuni menikmati suasana yang berbeza dan mencipta kenangan indah menjelang Aidilfitri.

Penjaga pertubuhan, Ahmad Fauzi Miskan, berkata anak-anak berusia seawal dua bulan hingga 25 tahun itu jelas teruja apabila menerima sumbangan termasuk pakaian baharu dan duit raya.

image is not available
Penjaga Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, Ahmad Fauzi Miskan. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Program seperti ini memberi peluang kepada mereka merasai pengalaman keluar ke majlis, menikmati juadah berbuka di tempat yang lebih selesa serta membuat persiapan Hari Raya seperti kanak-kanak lain,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, kebanyakan anak yatim dan asnaf jarang berpeluang menikmati pengalaman sedemikian, justeru program seperti itu menjadi detik istimewa buat mereka.

“Kadangkala kami menerima bantuan, namun ada juga kekurangan dari segi keperluan harian dan persiapan perayaan. Jadi apabila ada pihak tampil menyumbang, ia sangat membantu serta menceriakan anak-anak di sini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyumbang dan orang ramai yang menghulurkan bantuan, khususnya dalam menyediakan pakaian raya agar setiap anak yatim dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan rasa dihargai.

image is not available
Khoyrunnisak Hariyanto, 17, ketika ditemui pada Program Santuni Kasih Ramadan 2026 di Taema Bnglw, Ampang pada 17 Mac 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sementara itu, Khoyrunnisak Hariyanto, 17, berkata sambutan tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu apabila mereka menerima lebih perhatian daripada masyarakat.

“Tahun lepas tidak begitu meriah kerana kurang pengunjung, tetapi tahun ini lebih meriah. Saya rasa sangat gembira kerana dapat baju raya baharu dan dapat sambut bersama kawan-kawan di sini,” katanya.

Tambahnya, kehadiran insan tersayang yang jarang bersama turut menjadikan Aidilfitri kali ini lebih istimewa.

Bagi Mohamad Al Saif Manaf, 23, program tersebut memberi peluang kepadanya berkongsi kegembiraan bersama adik-adik di pertubuhan itu.

image is not available
Mohamad Al Saif Manaf, 23, ketika ditemui pada Program Santuni Kasih Ramadan 2026 di Taema Bnglw, Ampang pada 17 Mac 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Tahun ini lebih meriah kerana bukan sahaja dapat membeli baju raya sendiri, malah berpeluang membantu adik-adik membuat persiapan. Ia menjadikan sambutan kali ini lebih istimewa,” katanya.

Sebelum itu, Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad membawa penghuni pertubuhan berkenaan ke pusat tekstil Jakel bagi membeli kelengkapan Aidilfitri.

Di sana, mereka berpeluang memilih sendiri pakaian baharu, sekali gus memberi pengalaman istimewa yang jarang dinikmati sebahagian daripada mereka.