
KUALA LUMPUR – Pengalaman luas di pelbagai peringkat menjadi aset penting kepada Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), 17 September ini.
Kelebihan itu pastinya memberikan perspektif tersendiri kepada Ab Ghani untuk memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi industri bola sepak di negara ini.
“Sudah tentu saya berasa bangga dan berbesar hati melihat perjalanan beliau sebab bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Daripada seorang bekas pemain, kemudian beliau melalui perjalanan dalam dunia pentadbiran bola sepak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MFL sebelum menjadi Presiden MFL.
“Sekarang, beliau sebagai calon Presiden FAM dan bagi saya, ia satu perjalanan yang cukup membanggakan. Saya percaya dengan peribadi disiplin dan komitmen tingginya sebagai bekas pemain sebelum ini sedikit sebanyak membantunya menerajui organisasi bola sepak terbesar tanah air,” kata bekas pemain Sarawak, Abdul Jalil Ramli.
Untuk rekod, FAM sebelum ini sudah pun mengeluarkan senarai lengkap calon yang kan bertanding, menyaksikan Ab Ghani akan dicabar oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Menurut Jalil, pengalaman pernah beraksi bersama ketika beliau bermain untuk Negeri Sembilan suatu ketika dahulu membolehkannya melihat sendiri keperibadian dan sikap yang dimiliki Ab Ghani.
Jalil berkata, keperibadiaan Ab Ghani tidak kira di atas padang atau luar padang telah membentuk perjalanan beliau selepas meninggalkan dunia sebagai pemain untuk terus menabur bakti dalam dunia pentadbiran bola sepak. – KOSMO! ONLINE
The post Pengalaman jadi aset Ab Ghani rebut kerusi Presiden FAM appeared first on Kosmo Digital.





