
MELAKA: Perikatan Nasional (PN) akan memulakan prosiding tatatertib terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 selesai.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa aduan daripada parti komponen sudah diterima berhubung dakwaan pelanggaran disiplin yang memerlukan penelitian di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi PN.
Beliau berkata, aduan berkenaan perlu disertakan bukti kukuh termasuk rakaman video, audio atau dokumen bertulis bagi memastikan sebarang keputusan dibuat berdasarkan fakta dan bukan sentimen.
“Kita mendapat aduan-aduan daripada rakan komponen khususnya dengan pelbagai masalah disiplin yang dikira salah laku oleh parti berkenaan dan apabila ada aduan yang demikian itu, tentulah akan dibincangkan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi.
“Dan kita tunggulah selepas habis pilihan raya ini nanti dan bagaimana langkah seterusnya akan dilakukan. Sebab itulah antaranya prosesnya apabila ada salah laku, aduan salah laku maka kita jalankan prosedur ini.
“Kita tengok berdasarkan aduan dulu sebab kita mesti bergerak di atas aduan dahulu bukan atas sentimen lain. Aduan ini tentulah semestinya disertai dengan bukti-bukti sama ada bukti video, bukti suara ataupun bukti bertulis.
“Jadi untuk mengukuhkan cara kita buat keputusan. Sudah ada (aduan) sampai tapi tidak sepenuhnya. Kita tunggu selepas PRN Melaka,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PN DUN Kesidang hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, aduan itu turut membabitkan beberapa perkara yang berlaku sebelum dan sepanjang PRN Negeri Sembilan, namun beliau enggan memperincikan perkara berkenaan kerana ia belum dibincangkan secara rasmi dalam MPT PN.
“Aduan itu mengenai apa yang berlaku sebelum dan semasa PRN Negeri Sembilan. Jadi, saya tidak akan perincikan dahulu dan tidak mahu mendahului perbincangan dalam MPT PN,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan disiplin itu dibuat mengikut Fasal 15 perlembagaan gabungan itu dengan notis akan dikemukakan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, ketetapan tindakan disiplin terhadap Bersatu boleh sama ada membawa kepada hukuman diberi amaran, digantung atau dipecat daripada PN. – UTUSAN
The post PN ambil tindakan tatatertib ke atas Bersatu selepas PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.





