amree11/11/2026 - 16:25 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesan ancaman keselamatan siber yang menyasarkan sistem digitalnya sehingga menyebabkan gangguan akses, namun menegaskan operasi pilihan raya termasuk persiapan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak tidak terjejas.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, tindakan yang sewajarnya sudah diambil pun dengan segera bagi melindungi segala sistem suruhanjaya berkenaan serta memastikan kelancaran operasi pilihan raya terus terpelihara.
Menurutnya, SPR turut memulakan langkah penyelarasan dan kerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Jabatan Digital Negara (JDN) susulan pengesanan ancaman siber berkenaan.
"Langkah keselamatan tambahan dan usaha mitigasi juga sudah dilaksanakan secara berterusan bagi mencegah sebarang potensi ancaman serta memperkukuh daya tahan sistem digital SPR," jelas beliau dalam kenyataan pada Rabu.
Khairul Shahril berkata, keselamatan sistem dan kelancaran pengurusan pilihan raya kekal menjadi keutamaan suruhanjaya berkenaan, khususnya menjelang PRN di Melaka pada 14 November 2026 dan kemudian Sarawak menjelang 12 Disember 2026.
Dalam pada itu, bagi memudahkan pengundi untuk dapat menyemak maklumat pusat mengundi masing-masing, SPR ujar beliau turut menyediakan beberapa saluran alternatif kepada pemilih berdaftar di kedua-dua negeri berkenaan.

Pengundi tambah beliau, boleh membuat semakan terus melalui portal atau aplikasi rasmi MySPR Semak, selain menghubungi Pusat Panggilan SPR menerusi talian 03-8892 7218 yang beroperasi setiap hari dari 9 pagi hingga 8 malam.
"Di samping itu, pengundi juga boleh mendapatkan maklumat pusat mengundi dengan mengunjungi kaunter semakan di pusat mengundi masing-masing pada hari pengundian," kata Khairul Shahril.
SPR pada masa sama jelas beliau, turut menasihatkan pengundi supaya membuat semakan lebih awal dan menyimpan tangkap layar atau rekod maklumat berkenaan bagi memudahkan urusan pada hari mengundi.
Ujar beliau, SPR akan terus memperkukuh kesiapsiagaan serta kerjasama strategik dengan NACSA, MKN, JDN dan agensi berkaitan bagi memastikan sistem pilihan raya kekal selamat serta berdaya tahan.
Beliau menegaskan komitmen SPR untuk memastikan proses pilihan raya berlangsung lancar, cekap, teratur dan telus, selain mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap pengurusan pilihan raya negara. - DagangNews.com





