liza19/08/2026 - 10:44 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos – Pengambilalihan perniagaan bilik bersih bernilai sekitar RM48 juta oleh Kossan Rubber Industries Berhad bakal menjadi pemangkin kepada pengembangan segmen berkenaan, dengan kumpulan itu berpeluang memperkukuh rangkaian perdagangan, pengedaran dan rantaian bekalan di lima pasaran Asia.
MBSB Research berkata langkah itu selari dengan strategi Kossan untuk memperluaskan penyertaan dan skala kumpulan dalam pasaran produk bilik bersih, selain memanfaatkan pengalaman lebih 30 tahun IOS dalam perdagangan dan pengedaran produk berkenaan.
Berdasarkan cadangan tersebut, Kossan akan mengambil alih 100% kepentingan dalam Inout Enterprise Pte Ltd (IOS) daripada lima penjual dengan nilai kira-kira RM48.4 juta.
Kossan turut mencadangkan pengambilalihan 51% kepentingan dalam Inout Enterprise (Thailand) Ltd (IOT) daripada La-ongsri Loetsanga pada nilai kira-kira RM16,000.
Sumbangan Keuntungan Dijangka Mula Ketara Pada FY2027
Bagi CEHK pula, Kossan akan memegang 82.63% kepentingan secara langsung manakala baki 17.37% akan dimiliki oleh IOS.
MBSB Research menjangka pengambilalihan berkenaan tidak memberi kesan material kepada keuntungan keseluruhan Kossan bagi tahun kewangan 2026 (FY2026).
Bagaimanapun, kesannya dijangka mula dirasai pada FY2027 berdasarkan keuntungan terkumpul FY2025 bagi IOS, GPI, IOT, IOM dan Verbinden sekitar RM4 juta.
Jumlah itu dianggarkan menyumbang kepada peningkatan keuntungan bersih Kossan sekitar 2.2% hingga 2.5% pada FY2027.
Pada masa sama, penggabungan entiti yang diperoleh dijangka hanya mengurangkan margin keuntungan kumpulan bagi FY2027 kurang daripada 0.1 mata peratusan.
Menurut MBSB Research, meskipun kesan kepada keuntungan kumpulan secara keseluruhan tidak besar, pengambilalihan itu penting dari sudut strategi kerana Kossan berusaha mendapatkan harga jualan purata (ASP) lebih tinggi bagi produk bilik bersih untuk menyokong keuntungan segmen dalam jangka panjang.
ARTIKEL BERKAITAN: Kossan beli perniagaan Inout di Singapura, Thailand pada harga RM48.4 juta
Risiko Transaksi
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata terdapat beberapa risiko memandangkan cadangan pengambilalihan IOS, penyusunan semula IOS dan pengambilalihan IOT merupakan transaksi yang saling bergantung.
Kegagalan salah satu bahagian boleh menyebabkan keseluruhan transaksi tertangguh atau ditamatkan, manakala tempoh penyelesaian yang panjang turut boleh mendedahkan urus niaga kepada perubahan keadaan ekonomi dan operasi.
Antara risiko utama ialah keperluan mendapatkan Lesen Perniagaan Asing (FBL) bagi IOT daripada Kementerian Perdagangan Thailand dalam tempoh lima bulan dengan kelewatan atau kegagalan mendapatkan lesen itu berpotensi menyebabkan Kossan menamatkan pengambilalihan.
Proses penyusunan semula dan pemindahan perniagaan juga perlu berjaya dilaksanakan, termasuk pengambilalihan kepentingan dalam IOM, GPI, IOT dan CEHK serta pemindahan perniagaan Verbinden kepada IOS.
Penggabungan operasi merentas negara turut membawa cabaran dari segi peraturan, cukai dan budaya, selain melibatkan pemindahan model perniagaan, nilai muhibah, hubungan pelanggan dan peniaga serta pekerja utama.
Sekiranya Kossan gagal membayar baki 80% bagi pengambilalihan IOS dalam tempoh penyelesaian tiga bulan, syarikat akan berdepan tempoh tambahan sebulan yang dikenakan faedah penalti 8% setahun ke atas jumlah tertunggak, manakala keingkaran boleh menyebabkan deposit 20% dilucutkan sebagai ganti rugi dipersetujui.
MBSB Research tidak mengubah unjuran keuntungan Kossan buat masa ini menjelang keputusan kewangan separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY2026), selain mengambil kira sasaran penyelesaian pengambilalihan pada akhir suku pertama tahun kalendar 2027 (1QCY2027).
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap Kossan dengan harga sasaran RM1.37. - DagangNews.com





