amree11/08/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos – Industri semikonduktor kini menyumbang kira-kira 70% daripada permintaan sarung tangan bilik bersih keluaran Kossan Rubber Industries Berhad, kata CGS International (CGSI).
Perkembangan itu ujar firma berkenaan, membuka ruang kepada kumpulan tersebut meraih margin lebih tinggi ketika permintaan daripada pelanggan pusat data (DC) di rantau ASEAN terus berkembang.
Jelasnya, pendedahan kepada segmen sarung tangan bilik bersih dengan mempunyai margin lebih tinggi, dan pangkalan pelanggan yang kukuh dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan keuntungan.
"Kami menganggarkan Kossan akan menambah kapasiti pengeluaran produk itu sebanyak 400 juta keping setahun menerusi pembinaan lapan barisan baharu di fasiliti CleanEra," tambah CGSI dalam notanya.
Peningkatan itu menjadikan jumlah kapasiti kepada 800 juta keping setahun menjelang akhir 2027, selain segmen ini turut mencatat margin jauh lebih tinggi berbanding sarung tangan nitril biasa.
Firma itu menganggarkan hasil kasar bagi setiap 1,000 keping sarung tangan bilik bersih sekitar AS$10 (RM41) berbanding hanya AS$2 (RM8.20) hingga AS$2.50 (RM20.30) bagi sarung tangan nitril.

Ujar CGSI, permintaan daripada pelanggan berkaitan DC di ASEAN menjadi pemacu hasil Kossan seiring perkembangan industri semikonduktor memerlukan sarung tangan khusus bagi persekitaran terkawal.
"Keadaan ini dijangka meningkatkan sumbangan segmen bilik bersih kepada pendapatan keseluruhan, dan menyokong keuntungan bersih pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 13.1%," jelasnya.
Dari segi operasi, ia menjangkakan kadar penggunaan kapasiti naik kepada 71% pada FY26, disokong peningkatan bahagian pasaran di Amerika Syarikat (AS) dan permintaan kukuh ke atas produk premium.
CGSI berkata, jumlah jualan Kossan terus meningkat walaupun pelanggan menunjukkan kecenderungan terhadap produk ekonomi, menunjukkan produk premium ada tahap kesetiaan pelanggan yang tinggi.
Susulan prospek itu, ia menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing 1.8%, 4.3% dan 2.6%, berdasarkan sumbangan yang lebih besar dalam segmen bilik bersih.
"Kami menaik taraf sahamnya daripada 'kurang' kepada 'tambah' dan meningkatkan harga sasaran (TP) berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF) kepada RM1.39 berbanding hanya 85 sen," katanya.
Bagaimanapun CGSI memberi amaran ketepuan segmen sarung tangan khusus dan penyusutan infrastruktur kekal sebagai risiko Kossan, di samping kelewatan kapasiti baharu dari China. - DagangNews.com






