
SHAH ALAM – Pelarian dan individu tanpa negara hanya dibolehkan bekerja dalam sektor kotor, berbahaya dan sukar (3D) selepas proses pendaftaran serta prosedur undang-undang di peringkat Kerajaan Persekutuan diselesaikan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu turut memerlukan penglibatan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebelum golongan tersebut dibenarkan bekerja secara sah.
“Kena berdaftar dan itu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri. Kita tunggu proses itu selesai untuk kita susun semula.
“Tanggungjawab memberikan lesen (pengenalan diri) adalah UNHCR,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Smartsel Sdn. Bhd. dan PJ Linkaran Fibre Sdn. Bhd. di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM) merayu kerajaan mempertimbang membenarkan pelarian berdaftar bekerja secara sah di dalam sektor 3D.
Bagaimanapun, Julai lalu, UNHCR dilapor diarah menghentikan sementara semua proses pendaftaran pelarian bagi membolehkan penyusunan semula sistem pengurusan menerusi pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Bagaimanapun, Amirudin berkata, kerajaan ketika ini lebih memberi tumpuan kepada usaha menghantar pulang pelarian ke negara asal masing-masing.
“Seboleh mungkin, kita hendak hantar balik, namun itu memerlukan persetujuan kerajaan (negara asal) mereka. Stateless (tanpa kewarganegaraan) bukan sahaja Rohingya, ada banyak lagi. Tetapi kita akan tumpukan yang itu (penghantaran pulang) dahulu, tetapi itu di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, aspek kemanusiaan juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan golongan terbabit terbiar tanpa tempat tinggal sehingga mencetuskan masalah sosial.
“Kerajaan negeri tak boleh beri lesen (kebenaran) kepada mereka (untuk bekerja). Kalau orang awam membenarkan tinggal, menyewa rumah mereka, itu (juga) diluar bidang kuasa negeri. Tetapi ada faktor kemanusiaan yang kena tengoklah, kalau halau semua akhirnya nanti mereka melarat di tepi jalan dan akan timbulkan masalah sosial,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pengambilan pelarian bekerja 3D dibuat selepas urusan daftar selesai appeared first on Kosmo Digital.






