KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak wajar dikaitkan sebagai keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata pengampunan itu, merupakan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita mesti jujur dengan fakta. Pengampunan adalah wewenang Yang di-Pertuan Agong, sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Wanita PKR menghormati keputusan tersebut dan menjunjung institusi Raja Berperlembagaan.
“Jangan kerana perbezaan politik, kita mengaburkan kedudukan Perlembagaan atau menggambarkan keputusan ini seolah-olah keputusan Perdana Menteri atau Pakatan Harapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata pengampunan bersyarat Najib sudah tentu mengundang pelbagai reaksi, mengambil maklum kekecewaan dan kemarahan sesetengah pihak.
Baca juga:
Tabung Solidariti Najib Kumpul RM634,562 Dalam Tempoh 3 Jam - Asyraf
Rafizi Gesa PM, Pimpinan PH Beri Penjelasan Berhubung Tahanan Rumah Najib
PAS Junjung Kasih Atas Perkenan Agong, Pengampunan Najib Bermakna Buat Rakyat - Takiyuddin
Najib Masih Berhadapan Pelbagai Kes Walaupun Jalani Tahanan Rumah
Beliau berkata kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada rakyat, sambil menegaskan menghormati keputusan pengampunan itu tidak bermakna pendirian PKR terhadap rasuah dan salah guna kuasa berubah.
“Kita tidak harus berpura-pura bahawa perasaan itu tidak wujud. Rakyat berhak bersuara dan mendapatkan penjelasan. Kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara, pagi tadi.






