
PETALING JAYA – Ketua Wanita Keadilan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengakui wujud rasa kecewa dan marah dalam kalangan rakyat susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, Fadhlina menegaskan keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu perlu dihormati dan institusi Raja Berperlembagaan terus dijunjung.
“Ada yang menerima, ada yang kecewa dan ada yang marah. Kita tidak harus berpura-pura bahawa perasaan itu tidak wujud.
“Rakyat berhak bersuara dan mendapatkan penjelasan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Fadhlina, dalam berdepan pelbagai reaksi terhadap keputusan tersebut, fakta mengenai kedudukan kuasa pengampunan seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan tidak seharusnya dikaburkan.
Katanya, kuasa pengampunan merupakan wewenang Yang di-Pertuan Agong dan keputusan berkenaan tidak wajar digambarkan seolah-olah dibuat Perdana Menteri atau Pakatan Harapan.
“Wanita Keadilan menghormati keputusan tersebut dan menjunjung institusi Raja Berperlembagaan.
“Jangan kerana perbezaan politik, kita mengaburkan kedudukan Perlembagaan atau menggambarkan keputusan ini seolah-olah keputusan Perdana Menteri atau Pakatan Harapan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung perkara tersebut.
Tegasnya, menghormati keputusan pengampunan itu juga tidak bermaksud pendirian Keadilan dalam isu rasuah dan salah guna kuasa telah berubah.
“Keadilan lahir dengan keberanian melawan salah guna kuasa. Prinsip itu menuntut kita memastikan undang-undang terus berjalan tanpa mengira pangkat atau pengaruh seseorang,” katanya.
Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 menerusi pengampunan bersyarat.
Keputusan itu antara lain tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE
The post Kecewa, marah itu wujud, tetapi keputusan Agong dijunjung – Fadhlina appeared first on Kosmo Online.





