
PETALING JAYA – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen memulakan prosiding berhubung Lembaga Tabung Haji (LTH) dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) antara saksi yang bakal dipanggil bagi memberi penjelasan.
Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, sesi prosiding pertama yang berlangsung di Parlimen hari ini mengambil masa hampir empat jam.
Menurutnya, antara saksi utama dipanggil ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri selaku kementerian kawal selia serta Ketua Pegawai Eksekutif LTH dan pengurusan kanan institusi itu.
“Prosiding ini bertujuan mendapatkan penjelasan rasmi dan perkembangan terkini berhubung pelaksanaan syor-syor penambahbaikan yang digariskan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi LTH dari tahun 2014 hingga 2020.
“Ia termasuk isu berkaitan kawal selia kerajaan ke atas LTH serta pengurusan, tadbir urus dan kewangan LTH, terutama dalam memastikan kemampanan operasi institusi itu dalam jangka panjang di sebalik ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mas Ermieyati berkata, bagi prosiding seterusnya, PAC akan memanggil semula saksi yang hadir hari ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Katanya, PAC turut akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), wakil Kementerian Kewangan, agensi di bawah JPM serta Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB).
“Semua saksi berkaitan akan dipanggil sebelum PAC membentangkan penyata berhubung perkara itu di Dewan Rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, PAC sedang memuktamadkan penyata beberapa isu lain termasuk pengurusan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah menerusi sistem e-Jamin, kutipan hasil yuran dan perbelanjaan Universiti Kebangsaan Malaysia, pelaksanaan program R&D&C&I negara serta Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).
“PAC akan terus melaksanakan peranan semak dan imbang bagi memastikan akauntabiliti LTH khususnya dan kerajaan secara amnya, sekali gus mengukuhkan semula keyakinan jutaan pendeposit terhadap LTH,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post RCI TH: PAC mula prosiding LTH, Menteri Agama antara saksi appeared first on Kosmo Online.






