Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan pembangkang khususnya PAS yang didakwa cuba menangguk di air keruh berhubung keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menepis dakwaan wujud campur tangan atau ‘tangan ghaib’, Anwar menegaskan peranan Perdana Menteri dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang serta panduan rasmi Peguam Negara.
“Dia (PAS) ni sebenarnya dalam menangguk di air keruh kepentingan dia. Dia patut faham peraturannya betul, sebab orang, Perdana Menteri, siapa pun harus ada suara memberikan pandangan berdasarkan hukum, berdasarkan nasihat daripada Peguam Negara dan peraturan. Itu saya lakukan.
“Tapi kita tahu juga ini berbicara tentang tanggungjawab dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tentunya harus mengambil kira semua faktor. Kita masih banyak kes-kes yang kita ambil dalam soal rasuah dan agak laju… saya sendiri telah menekankan supaya lebih tegas soal Tabung Haji dan FELDA.
“Jadi jangan kita ambil soal personal satu persatu,” tegas beliau pada Isnin.

Mengulas dakwaan PAS yang disifatkannya tidak berprinsip, Anwar turut menyindir pendirian parti itu yang sebelum ini lantang dalam isu rasuah, namun didakwa kini mengambil pendekatan berbeza demi kepentingan politik.
“Ini soal PAS ni saya tidak kira sangat, tidak pernah konsisten. Dulu mereka yang paling keras. Bagi saya, saya tidak langsung komen dalam soal ini, tetapi seperti kita tahu ada masih kes berjalan dan kes itu telah mengundang perhatian dunia,” ujar beliau.


Anwar memuktamadkan lawatan kerja empat hari ke India dari 11 hingga 14 September yang merangkumi New Delhi dan Keralam, sebelum meneruskan siri lawatan rasmi ke Malé, Republik Maldives selama dua hari bermula petang ini.
Sumber: Astro Awani






