
KUALA LUMPUR - Malaysia tidak akan dipengaruhi atau mengubah pendirian terhadap Low Taek Jho atau Jho Low, walaupun ahli perniagaan buruan itu diberikan pengampunan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan berhubung pengampunan di AS adalah urusan negara berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, Malaysia akan terus berpegang kepada proses perundangan dalam mengendalikan kes yang membabitkan Jho Low.
"Pendirian Malaysia jelas, kita mengikut lunas undang-undang. Soal (pengampunan) itu adalah keputusan AS, itu urusan mereka, namun pendirian kita tidak akan dipengaruhi, diganggu atau diancam oleh keputusan negara tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, hari ini.
Terdahulu dilaporkan, Jho Low merupakan antara kira-kira 250 individu yang berpotensi dipertimbangkan untuk menerima pengampunan daripada Trump sempena sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat yang ke-250, esok.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata pembatalan pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai ahli Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Perdana Menteri, buat masa ini pelantikan Azam sebagai ahli Lembaga Penasihat NFCC adalah sah sehingga tahun 2027.
"Bagi isu ini, pelantikan beliau sah sehingga 2027 dan kuasa untuk membatalkannya hanya terletak pada Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mempersoalkan kewajaran pelantikan Azam sebagai penasihat NFCC memandangkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu pernah dikaitkan dengan beberapa isu, termasuk dakwaan skandal melibatkan syarikat mafia korporat dan pemilikan saham.
Selain Hamzah, Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan, turut menggesa kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan bahawa Azam telah dilantik sebagai penasihat di NFCC.
Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, menerusi satu kenyataan media, turut menjelaskan bahawa pelantikan Azam sebagai ahli Lembaga Penasihat bagi tempoh 20 September 2024 hingga 19 September 2027 dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. - Getaran, 3 Julai 2026




