liza24/11/2026 - 09:32 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – KPJ Healthcare Berhad dijangka terus mencatatkan prestasi kewangan lebih baik pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26) disokong peningkatan jumlah pesakit serta sumbangan lebih tinggi daripada prosedur pembedahan elektif yang lazimnya memberikan margin keuntungan dan hasil lebih tinggi.
Penganalisis berkata, momentum pendapatan kumpulan itu dijangka kekal positif sehingga akhir tahun dengan peningkatan penggunaan kemudahan hospital turut menyokong kecekapan operasi dan pertumbuhan keuntungan.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9M26), keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (Core PATAMI) KPJ meningkat 27.5% kepada RM295.9 juta berbanding RM232.1 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan meningkat 12.5% kepada RM3.50 bilion berbanding RM3.11 bilion, manakala keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 8.6% kepada RM761.9 juta daripada RM701.6 juta.
RHB Research jangka keuntungan teras KPJ meningkat 6% pada 4QFY26
RHB Research menjangkakan suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26) menjadi tempoh paling kukuh bagi KPJ Healthcare Berhad dari segi keuntungan, berdasarkan corak prestasi bermusim kumpulan itu. Pada FY25, suku keempat menyumbang kira-kira 38% daripada keuntungan teras setahun penuh.
Berdasarkan unjuran keuntungan teras RM435 juta bagi FY26, RHB Research menganggarkan KPJ mampu mencatat keuntungan teras sekitar RM151 juta pada 4QFY26, meningkat 6% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 (9M26), keuntungan teras KPJ meningkat 21% tahun ke tahun kepada RM284 juta, sejajar dengan jangkaan RHB Research dan mewakili 65% daripada unjuran keuntungan setahun penuh firma penyelidikan itu.
RHB Research turut menyorot peningkatan jumlah pesakit sebagai pemacu prestasi kumpulan, dengan kemasukan pesakit dalam meningkat 9.7% dan pesakit luar bertambah 8.5% pada 3QFY26. Kadar penghunian katil turut meningkat kepada 74% berbanding 66% pada suku sama tahun sebelumnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan KPJ Healthcare meningkat 12% kepada RM1.25 bilion pada suku ketiga
Pertambahan pesakit tingkatkan penggunaan katil hospital
Sementara itu BIMB Securities berkata, pertumbuhan hasil KPJ disokong peningkatan kemasukan pesakit dalam sebanyak 9.7% kepada 109,742 orang pada 3QFY26, manakala jumlah pesakit luar bertambah 8.5% kepada 831,682 orang.
Jumlah prosedur pembedahan turut meningkat 7.5% kepada 33,127 berbanding 30,812 prosedur dalam suku sama tahun sebelumnya.
Perkembangan itu turut menyumbang kepada peningkatan kadar penggunaan katil (BOR) kepada 74% berbanding 66% pada 3QFY25 dan 68% pada suku kedua 2026.
Bagaimanapun, purata hasil bagi setiap pesakit dalam susut 4.2% berbanding suku sebelumnya kepada RM8,291, menunjukkan perubahan campuran rawatan (treatment mix) selepas prestasi lebih tinggi pada suku kedua.
Unjuran keuntungan dinaikkan sehingga FY2028
Mengambil kira permintaan pesakit yang berterusan dan jangkaan pertumbuhan hasil lebih tinggi, BIMB Securities menaikkan unjuran keuntungan teras KPJ bagi FY2026, FY2027 dan FY2028 masing-masing sebanyak 3%, 1.2% dan 0.7%.
Keuntungan teras kumpulan itu kini diunjurkan meningkat kepada RM413 juta pada FY2026, RM437 juta pada FY2027 dan RM495 juta pada FY2028.
Firma itu berkata, peningkatan penggunaan rangkaian hospital sedia ada dijangka terus menyokong kecekapan operasi dan pertumbuhan keuntungan, manakala prospek jangka panjang kumpulan akan lebih bergantung kepada peningkatan penggunaan kemudahan, kecekapan operasi serta campuran rawatan yang memberikan hasil lebih tinggi.
Sehubungan itu, firma tersebut mengekalkan saranan Beli terhadap saham KPJ dengan harga sasaran RM3.30 tidak berubah daripada penilaian sebelumnya, memberikan potensi kenaikan sebanyak 24.1% berbanding harga saham RM2.66 ketika ini.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu turut mengingatkan bahawa reformasi sektor kesihatan, khususnya pelaksanaan MediAsas dan Kumpulan Berkaitan Diagnosis boleh mengehadkan fleksibiliti penetapan harga serta mengubah hubungan antara pembayar dengan penyedia perkhidmatan kesihatan.
Namun, BIMB Securities berpendapat KPJ masih berada pada kedudukan baik untuk menghadapi perubahan berkenaan berikutan skala operasi dan rangkaian hospitalnya di seluruh negara, selain peluang meningkatkan keuntungan melalui penggunaan kapasiti hospital sedia ada. - DagangNews.com






