Pendapatan sewaan pusat beli-belah dijangka terus jadi penyelamat AEON ketika jualan runcit perlahan – Penganalisis

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 10:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan sewaan pusat beli-belah dijangka terus jadi penyelamat AEON ketika jualan runcit perlahan – Penganalisis Image from: Pendapatan sewaan pusat beli-belah dijangka terus jadi penyelamat AEON ketika jualan runcit perlahan – Penganalisis liza23/11/2026 - 10:49 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov – Pendapatan daripada penyewaan ruang kedai dan pengurusan pusat beli-belah dijangka terus menjadi pemacu utama keuntungan AEON Co (M) Bhd ketika pemulihan perniagaan pasar rayanya masih perlahan susulan perbelanjaan pengguna yang berhati-hati.

 

Penganalisis berkata, pendapatan kumpulan dalam tempoh terdekat dijangka disokong sumbangan perniagaan pengurusan pusat beli-belah, kawalan kos serta pembukaan AEON Mall KL Midtown.

 

MBSB Research berkata, perniagaan pengurusan pusat beli-belah kekal sebagai tonggak keuntungan kumpulan, disokong kadar penghunian ruang kedai yang stabil dan pendapatan sewaan berulang.

 

“Pembukaan AEON Mall KL Midtown dijangka memperluas portfolio perniagaan pengurusan pusat beli-belah AEON dan menyumbang kepada pertumbuhan kumpulan.

 

“Sumbangan pusat beli-belah baharu itu, bersama pendapatan sewaan daripada penyewa sedia ada, dijangka membantu mengimbangi prestasi perniagaan pasar raya yang masih berdepan tekanan,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26), pendapatan perniagaan pengurusan pusat beli-belah meningkat 3.6% kepada RM612.5 juta, manakala keuntungan operasinya naik 18.7% kepada RM292 juta. Sebaliknya, pendapatan perniagaan pasar raya susut 0.5% kepada RM2.64 bilion dan mencatat kerugian operasi RM5.3 juta berbanding keuntungan RM1.8 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pemulihan jualan pasar raya masih perlahan

Penganalisis menjangkakan pemulihan perniagaan pasar raya berlaku secara berperingkat kerana pengguna masih berhati-hati, khususnya dalam pembelian barangan bukan keperluan.

 

Permintaan terhadap barangan keperluan dijangka terus memberikan sokongan kepada perniagaan itu, namun peningkatan pembelian barangan bukan keperluan diperlukan sebelum keuntungan segmen berkenaan dapat pulih dengan lebih ketara.

 

Dalam perkembangan berkaitan, MBSB Research turut menjangkakan kawalan kos dan sumbangan pendapatan pengurusan pusat beli-belah terus menyokong prestasi kumpulan dalam tempoh terdekat.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keuntungan AEON meningkat 12.8% kepada RM107 juta disokong sumbangan segmen hartanah

 

MBSB kekalkan saranan beli

Bagi unjuran kewangan, MBSB Research menganggarkan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (Core PATANCI) meningkat kepada RM176.4 juta pada FY27 berbanding anggaran RM156.1 juta bagi FY26.

 

Angka itu mencerminkan jangkaan pertumbuhan keuntungan teras sekitar 13% pada FY27, sebelum meningkat lagi kepada RM187.2 juta pada FY28.

 

Bagaimanapun, firma itu menyemak turun harga sasaran saham AEON kepada RM1.26 daripada RM1.61, berdasarkan penilaian 10 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY27.

 

MBSB Research mengekalkan saranan beli terhadap saham itu, dengan mengambil kira sumbangan berterusan perniagaan pengurusan pusat beli-belah walaupun pemulihan jualan pasar raya dijangka mengambil masa.

 

Perbelanjaan perayaan boleh bantu jualan suku keempat

Sementara itu, RHB Research menjangkakan perbelanjaan sempena musim perayaan menyokong prestasi lebih baik pada suku keempat, melibatkan segmen peruncitan dan PMS.

 

“Pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di 11 cawangan AEON sejak Oktober lalu juga boleh memberi sokongan tambahan kepada segmen peruncitan kumpulan itu. 

 

“Menerusi program berkenaan, penerima bantuan boleh menggunakan peruntukan SARA untuk membeli barangan keperluan yang diluluskan dan berpotensi meningkatkan kunjungan pelanggan dan pembelian di cawangan terlibat,” katanya.

 

Bagaimanapun, pemulihan jualan barangan bukan keperluan masih menjadi perkara yang perlu diperhatikan, memandangkan perbelanjaan pengguna kekal tertumpu kepada barangan keperluan.

 

RHB Research menurunkan harga sasaran saham AEON kepada RM1.30 daripada RM1.52, namun mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved