UEM Sunrise dijangka catat prestasi kewangan lebih kukuh 4QFY26 - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 2:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UEM Sunrise dijangka catat prestasi kewangan lebih kukuh 4QFY26 - Penganalisis Image from: UEM Sunrise dijangka catat prestasi kewangan lebih kukuh 4QFY26 - Penganalisis hamden19/11/2026 - 14:18 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - UEM Sunrise Bhd dijangka mencatatkan prestasi kewangan lebih kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26), disokong keuntungan sebanyak RM66 juta daripada pelupusan tanah Lot 149 serta jualan memberangsangkan projek MAIA Mont’ Kiara.

 

RHB Research berkata, kedua-dua faktor itu dijangka menjadi pemacu utama prestasi kumpulan bagi suku berkenaan, selain menyediakan potensi peningkatan kepada dividen akhir bagi tahun kewangan 2026.

 

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan BELI terhadap saham UEM Sunrise dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.77, yang menawarkan potensi kenaikan sebanyak 70%.

 

UEM Sunrise sebelum ini mengumumkan dividen khas sebanyak 1.53 sen, manakala anggaran dividen sesaham (DPS) setahun penuh bagi FY26, termasuk dividen khas berkenaan, menunjukkan potensi hasil dividen melebihi 6%.

 

Bagi keputusan 3QFY26, pertumbuhan keuntungan yang lebih kukuh berbanding jangkaan didorong terutamanya oleh pengiktirafan hasil lebih tinggi daripada pembangunan hartanah serta sumbangan syarikat bersekutu dan usaha sama (JV).

 

Pengiktirafan hasil sepanjang suku berkenaan disumbangkan oleh projek The Connaught One, Estuari, Intrika, Residensi ZIG, The Minh dan Aspira Parkhomes.

 

Sementara itu, pendapatan daripada bahagian keuntungan syarikat bersekutu dan JV kekal kukuh, hasil sumbangan lebih tinggi daripada Horizon Hills serta Nusajaya TechPark.

 

Nisbah penggearan bersih kumpulan turut bertambah baik sedikit kepada 0.36 kali berbanding 0.38 kali pada 2QFY26.

 

RHB Research menjelaskan penurunan hasil secara suku ke suku pula disebabkan pengiktirafan jualan tanah pusat data di East Ledang pada suku sebelumnya.

 

Jualan hartanah 9M26 mencecah RM1.935 bilion

Jualan hartanah UEM Sunrise pada 3QFY26 berjumlah RM465 juta berbanding RM1.21 bilion pada 2QFY26, dengan projek Collingwood berkonsepkan bina untuk disewa (build-to-rent) menjadi penyumbang utama sebanyak RM903.3 juta.

 

Secara kumulatif, jualan hartanah bagi sembilan bulan pertama 2026 (9M26) mencapai RM1.935 bilion.

 

Antara penyumbang utama ialah Estuari sebanyak RM179.9 juta, Aspira Hills (RM142.4 juta), The Connaught One (RM108.9 juta), Aspira Place (RM100.7 juta) dan MAIA (RM132.8 juta), yang dilancarkan secara lembut pada 3QFY26.

 

Bagaimanapun, kadar pengambilan projek The One Oval di Subiaco, Perth kekal perlahan dan tidak berubah pada 34%.


MAIA dijangka sokong jualan 1H27

RHB Research berkata, jumlah nilai pelancaran projek UEM Sunrise bagi 9M26 mencecah RM2.64 bilion, melepasi sasaran setahun penuh sebanyak 20%.

 

Justeru, firma itu tidak menjangkakan pelancaran utama baharu pada 4QFY26, dengan projek Seksyen 13 yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM718 juta berkemungkinan menjadi satu-satunya projek yang masih akan dilancarkan.

 

MAIA Mont’ Kiara pula dilancarkan secara rasmi pada 10 November 2026, dengan kadar tempahan melebihi 60%.

 

RHB Research menjangkakan projek itu menyumbang dengan ketara kepada jualan hartanah kumpulan pada separuh pertama 2027 (1H27).

 

Firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran keuntungan UEM Sunrise bagi FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 49%, 29% dan 20%, susulan keuntungan RM66 juta daripada pelupusan tanah Lot 149 yang akan diiktiraf pada 4QFY26.

 

Penjanaan semula nilai tanah

Sementara itu, berkongsi sentimen positif, CGS International (CGSI) menaik taraf saranan saham UEM Sunrise kepada TAMBAH daripada PEGANG didorong prospek pendapatan yang semakin baik hasil kemajuan penjanaan nilai bank tanah dan peningkatan jualan hartanah.

 

Pada masa sama, harga sasaran saham UEM Sunrise dinaikkan kepada 65 sen berbanding paras sebelumnya, berdasarkan diskaun 65% yang tidak berubah terhadap nilai aset bersih dinilai (RNAV) sesaham sebanyak RM1.85.

 

Penilaian lebih positif itu mengambil kira peningkatan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 (FY26F-FY28F), selain laluan yang lebih jelas untuk kumpulan merealisasikan nilai daripada bank tanahnya yang besar.

 

Firma penyelidikan itu menaikkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) UEM Sunrise bagi FY26F, FY27F dan FY28F masing-masing sebanyak 104%, 73% dan 80%, susulan pengiktirafan pendapatan tambahan daripada urus niaga penjanaan nilai tanah yang dimeterai baru-baru ini serta andaian kemajuan tuntutan bayaran berperingkat yang lebih tinggi.

 

Selain prospek pendapatan yang bertambah baik, penilaian saham UEM Sunrise juga dianggap menarik pada 0.3 kali nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) FY27F, iaitu 0.5 sisihan piawai di bawah purata sejarah 10 tahunnya.

 

Keuntungan bagi FY27 hingga FY28 pula dijangka didorong oleh projek MAIA serta keuntungan daripada usaha sama perindustrian yang dimeterai baru-baru ini.

 

Jualan belum dibilkan kumpulan turut meningkat kepada RM3.022 bilion berbanding RM2.943 bilion pada 2QFY26.

 

Harga sasaran RM0.77 dikekalkan berdasarkan diskaun sebanyak 65% kepada nilai aset bersih dinilai semula (RNAV), selain diskaun alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 2% berdasarkan skor ESG syarikat pada paras 2.9. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved