amree28/05/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Mei — Sime Darby Property Berhad terus menarik perhatian pasaran apabila projek pusat data (DC) bina-untuk-pajakan miliknya mula muncul sebagai pemacu pendapatan yang baharu.
Penganalisis berpendapat, situasi semasa itu sekali gus mengimbangi kelembapan sementara segmen pembangunan hartanah mengekalkan pandangan positif terhadap prospek kumpulan hartanah berkenaan.
Public Investment Bank mengekalkan saranan 'outperform' dan harga sasaran (TP) RM1.55, manakala RHB Research dengan syor 'beli' namun TP lebih optimis RM2.15 membayangkan potensi kenaikan 50%.
"Bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26), Sime Darby Property mencatat keuntungan bersih RM158.8 juta, meningkat 34.1% tahun ke tahun (YoY) dan 81.3% suku ke suku (QoQ)," kata mereka.
Perkembangan itu didorong terutama oleh keuntungan nilai saksama RM65.1 juta hasil penyiapan DC bina-untuk-pajakan, dengan keuntungan bersih teras kumpulan dianggarkan sekitar RM93.7 juta.
Kedua-dua firma penyelidikan tersebut mengecualikan keuntungan luar biasa tersebut, yang dianggap masih dalam jangkaan pasaran kerana suku pertama kelazimannya merupakan tempoh lebih perlahan.
Menurut PublicInvest, Sime Darby Property berada di landasan tepat mencapai sasaran jualan RM4 bilion bagi FY26 selepas merekodkan prajualan RM918.9 juta dalam tempoh tiga bulan pertama FY26.
"Ia turut ada tempahan belum direkodkan bernilai RM1.1 bilion setakat 17 Mei 2026 selain jualan belum dibilkan naik kepada RM4.1 bilion berbanding RM3.9 bilion pada suku sebelum itu," katanya.
Keadaan positif tersebut jelas firma berkenaan, memberi keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh untuk tempoh tiga hingga empat tahun akan datang ke atas pertumbuhan mampan kumpulan itu sendiri.

Sementara itu, RHB Research pula berkata, pendapatan bagi suku kedua hingga keempat FY26 dijangka lebih kukuh apabila projek DC tersebut mula menyumbang pendapatan pajakan bermula April 2026.
Katanya, walaupun berdepan cabaran pasaran, Sime Darby Property mengekalkan sasaran jualan RM4 bilion dan pelancaran projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.7 bilion bagi tahun ini.
“Prestasi jualan bagi 1QFY26 sangat memberangsangkan pada penilaian kami dengan segmen industri menjadi penyumbang utama sebanyak 53% daripada keseluruhan jualan berkenaan,” kata firma tersebut.
Dari sudut operasi pula, hasil kumpulan berkenaan susut kira-kira 8.3% YoY kepada sebanyak RM799.2 juta disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah dan riadah.
Bagaimanapun tambah RHB Research, segmen pelaburan dan pengurusan aset Sime Darby Property terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan hasil meningkat 39.2% susulan pengembangan portfolio aset.
Kelemahan segmen riadah dipengaruhi penutupan sementara KLGCC Convention Centre bagi kerja naik taraf sehingga pertengahan Februari 2026 yang menjejaskan pendapatan makanan, minuman dan acara.
Dua firma penyelidikan itu turut positif terhadap pelaksanaan Pelan Insentif Jangka Panjang (LTIP) yang mencerminkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang Sime Darby Property. - DagangNews.com





