hamden26/05/2026 - 18:04 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Mei - Powerwell Holdings Berhad mencatat keuntungan bersih RM24.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26) meningkat daripada RM18.7 juta pada tahun sebelumnya.
Kumpulan yang mengkhusus dalam pembuatan peralatan pengagihan elektrik voltan rendah (LV) dan voltan sederhana itu turut merekodkan hasil sebanyak RM159.0 juta, naik 15.6% tahun ke tahun berbanding RM137.5 juta pada FY25, disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada operasi di Bangladesh dan Indonesia.
Menurut Powerwell, peningkatan prestasi tersebut turut didorong oleh pengukuhan margin serta pelaksanaan projek-projek strategik dalam sektor tenaga dan infrastruktur.
Dalam masa sama, Kumpulan itu turut memperoleh projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta, yang dijangka memberi sumbangan signifikan kepada pertumbuhan pendapatan masa hadapan.
“Prestasi ini mencerminkan keberkesanan strategi pertumbuhan lima teras Kumpulan dalam persekitaran makroekonomi yang mencabar,” kata syarikat dalam satu kenyataan.
Powerwell turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang memperluaskan kapasiti pembuatan di Malaysia dan Indonesia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, khususnya daripada sektor pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor dan infrastruktur.
Tahun kewangan ini juga menyaksikan Kumpulan memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026, sebuah syarikat berpangkalan di Sarawak yang terlibat dalam penyelesaian pengagihan kuasa untuk pelbagai industri termasuk semikonduktor, utiliti dan petrokimia.
Langkah tersebut memberi akses segera Powerwell ke pasaran Malaysia Timur serta memperkukuh portfolio produk dan keupayaan teknikal Kumpulan.
Bagi suku keempat FY26, Powerwell merekodkan hasil sebanyak RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta setahun lalu, susulan penurunan penghantaran projek. Namun begitu, untung bersih meningkat 6.9% kepada RM7.7 juta dipacu oleh margin kasar lebih tinggi pada 39.8% berbanding 35.1% sebelum ini, hasil penyelesaian akaun projek pusat data dan loji hidro.
Prestasi turut disokong oleh pembalikan rosot nilai penghutang serta pengurangan perbelanjaan pentadbiran.
Kumpulan itu turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen FY26 kepada 1.5 sen sesaham atau kira-kira RM8.7 juta, mewakili nisbah pembayaran sekitar 36.1% daripada keuntungan bersih.
Dalam prospek hadapan, Powerwell kekal optimis terhadap pertumbuhan jangka panjang disokong oleh buku tempahan sekitar RM150.8 juta setakat akhir Mac 2026 serta pipeline tender yang sihat, namun tetap berwaspada terhadap ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global. - DagangNews.com






