Penganalisis optimis terhadap prospek TNB didorong pelaksanaan RP4

28/05/2025 - 11:01
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 28 Mei - Penganalisis kekal optimis terhadap prospek Tenaga Nasional Berhad (TNB) disokong pelaksanaan Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) yang akan mengukuhkan segmen perniagaan kawal selia syarikat.
Public Investment Bank Berhad (PublicInvest) berkata, RP4 telah diluluskan secara rasmi di bawah kerangka Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), meliputi tempoh dari Januari 2025 hingga Disember 2027.
Katanya, walaupun tarif asas baharu sebanyak 45.62 sen/kWj akan mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
Hasilnya, pendapatan bagi suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) mencatatkan pelarasan kawal selia positif sebanyak RM1.9 bilion bagi perniagaan kawal selia, walaupun permintaan elektrik menurun sebanyak 1.2%
"Pelarasan ini cukup untuk mengimbangi pembalikan mendadak kos laluan ketidakseimbangan (ICPT) yang mencerminkan penurunan harga bahan api sepanjang suku tersebut.
"Kira-kira 70% daripada tarif asas diperuntukkan bagi kos bahan api dan penjanaan, manakala baki selebihnya diperuntukkan untuk operasi, penyelenggaraan dan penaiktarafan aset kawal selia syarikat," katanya dalam satu nota kajian.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) melihat, dana industri sebagai sumber pembiayaan berpotensi bagi pulangan TNB ke atas perbelanjaan modal bersyarat.
Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2026/2027 sebanyak 3%/7% dengan mengambil kira perbelanjaan modal bersyarat sebanyak RM5 bilion bagi setiap tahun.
"Harga sasaran kami (berdasarkan DCF dengan andaian WACC tidak berubah pada 7.5% dan pertumbuhan jangka panjang sebanyak 2%) dinaikkan kepada RM15.50 (daripada RM14.50). Kami mengekalkan kadar agihan dividen sebanyak 50%.
"TNB juga yakin bahawa 60% hingga 70% daripada perbelanjaan modal bersyarat yang dicadangkan akan dibelanjakan dalam RP4," katanya.
Sementara itu, RHB Research berkata, perbelanjaan modal itu akan banyak bergantung kepada perkara tertentu, seperti sejauh mana agresifnya Kerajaan Malaysia melaksanakan program solarnya, terutamanya Solar Skala Besar 6 (LSS6) dan seterusnya.
Katanya, pertumbuhan permintaan – terutamanya daripada pusat data – juga akan mempengaruhi sama ada ambang perbelanjaan modal bersyarat tertentu akan dicapai.
Firma penyelidika itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM15.50 sesaham. - DagangNews.com
featured standard


