Penganalisis yakin langkah Kerjaya Prospek ceburi segmen pusat data buka peluang kontrak lebih besar

LocalBusiness & Finance
27 Jul 2026 • 10:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penganalisis yakin langkah Kerjaya Prospek ceburi segmen pusat data buka peluang kontrak lebih besar Image from: Penganalisis yakin langkah Kerjaya Prospek ceburi segmen pusat data buka peluang kontrak lebih besar amree27/07/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 JulaiKerjaya Prospek Group Berhad dilihat penganalisis semakin terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor pembinaan negara dengan menembusi segmen infrastruktur pusat data (DC).

 

Langkah terbaharu itu akan membuka banyak peluang kepada kontrak yang bernilai lebih besar pada masa hadapan, dengan mereka turut mengekalkan pandangan positif terhadap prospek syarikat tersebut.

 

Kejayaan perolehan subkontrak bernilai RM52.5 juta bagi pembinaan stesen pendaratan pengguna 275kV untuk sebuah DC di Lembah Klang itu memperluaskan sumber hasil di luar projek pembangunan kediaman.

 

"Tender berkenaan merupakan kontrak yang kesembilan diraih Kerjaya Prospek bagi tahun ini, sekali gus meningkatkan nilai kontrak baharu kepada RM2.1 bilion," jelas Phillip Capital dalam nota analisis.

 

Angka tersebut ujar firma penyelidikan tersebut, melepasi sasaran pengurusan sebanyak RM2 bilion, selain memenuhi 86% daripada unjuran pengisian semula buku tempahan tahun penuh iaitu RM2.5 bilion.

 

Kontrak itu turut meningkatkan buku tempahan belum dilaksana kepada RM5.1 bilion iaitu kira-kira dua kali ganda hasil tahunan sepanjang 2025 dan memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2029.

 

Kerjaya Prospek_DagangNews2026

 

Menurut Phillip Capital, walaupun hanya menyumbang keuntungan bersih RM3.2 juta bagi tempoh 2026 hingga 2027 berasaskan margin bersih 6%, kepentingan strategik kepada Kerjaya Prospek lebih besar.

 

"Ini projek DC pertama dan berpotensi membina rekod dengan pemaju untuk kontrak lebih baik pada masa depan. Justeru, kami mengekalkan saranan 'tambah' dan harga sasaran (TP) RM3.16," katanya.

 

Sementara itu, Apex Securities melihat kontrak baharu berkenaan sebagai perkembangan positif kerana menyokong strategi pengembangan dalam projek infrastruktur melibatkan segmen industri dan komersial.

 

Usaha itu mengurangkan kebergantungan Kerjaya Prospek kepada projek kediaman bertingkat tinggi, dan menganggarkan kontrak tersebut mampu menyumbang RM3.2 juta kepada keuntungan selepas cukai (PAT).

 

Ujarnya, walaupun margin lebih rendah berbanding projek teras kerana hanya bertaraf subkontrak, risiko pelaksanaan adalah terkawal memandangkan tempoh projek yang singkat serta pengalaman luas syarikat.

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'beli' dengan TP RM3.34 sesaham kerana percaya kemasukan ke dalam segmen DC akan memperkukuh prospek pertumbuhan dan sumber kontrak," kata Apex Securities.

 

Buku tempahan semasa Kerjaya Prospek dianggarkan RM4.8 bilion, disokong beberapa kontrak utama sebelum ini, manakala saluran tender bernilai RM2 bilion dijangka menjana pertumbuhan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved