
MACHANG – Perbuatan jijik seorang penganggur yang menganggu kesopanan empat wanita dengan menunjukkan isyarat lucah, meminta untuk mengintai di tandas selain mengajak melakukan hubungan seks di Kompleks Islam Jajahan dan Mahkamah Rendah Syariah kira-kira tiga bulan lalu berbalas selepas Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara 24 bulan.
Tertuduh, Muhammad Hazim Ezwan Hazizi, 27, yang masih bujang dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut dua pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan dua wanita berusia 30 dan 24 tahun dengan menunjukkan isyarat lucah yang bertujuan menganggu kesantunan mangsa.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dituduh dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 54 tahun dengan menyebut perkataan ‘mak cik jom buat seks, tak apa saya bayar’ bagi maksud supaya perkataan tersebut didengar bertujuan menganggu kesantunannya.
Pertuduhan keempat, Muhammad Hazim didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun dengan menyebut perkataan ‘boleh tak saya nak intai’ bagi maksud supaya perkataan itu didengar bertujuan menganggu kesantunan mangsa.
Keempat-empat perbuatan itu dilakukan di tangga dan tandas di Kompleks Islam Jajahan Machang selain Mahkamah Rendah Syariah Machang di sini kira-kira pukul 11.35 pagi hingga 11.50 pagi pada 19 Mei 2026.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqiffullah Mohd. Amran manakala tertuduh diwakili peguam, Norhusniza Akmal Husain.
Terdahulu, Ahmad Hazim mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak lagi mengulangi kesalahan tersebut.
Norhusniza dalam rayuannya memohon hukuman denda yang minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.
“Tertuduh yang masih ditanggung oleh dua orang abangnya tidak bergaul dengan sesiapa dan hanya bercakap apabila perlu. Pengakuan salah anak guam saya sudah menjimatkan masa dan kos semua pihak,” katanya.
Laporan psikiatri yang dibentangkan ketika prosiding mahkamah mendapati, mental tertuduh berada dalam keadaan waras ketika kejadian selain sedar mengenai sifat dan akibat daripada perbuatannya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi keempat-empat pertuduhan dan penjara 24 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh tidak membayar denda yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE
The post Penganggur ajak wanita ‘bersama’ di Kompleks Islam Machang didenda RM10,000, penjara 24 bulan appeared first on Kosmo Digital.





