Amang Seksual Fizikal, Bapa Tiri Mengaku Tak Bersalah Untuk 7 Pertuduhan

7 Aug 2026 • 5:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Amang Seksual Fizikal, Bapa Tiri Mengaku Tak Bersalah Untuk 7 Pertuduhan

KUALA LUMPUR - Seorang bapa tiri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang kini berusia 12 tahun dalam tempoh kira-kira tiga tahun.

Tertuduh yang berusia 41 tahun dan bekerja sebagai juruteknik membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa sejak kanak-kanak itu berusia 10 tahun ketika mangsa berada di bawah jagaan dan perlindungannya sebagai bapa tiri, sekali gus menyalahgunakan kedudukan diberikan kepadanya sebagai individu yang dipercayai.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar, dalam daerah Perak Tengah pada beberapa tarikh berasingan sekitar Mei 2023, Mei 2024 dan April 2025.

Enam daripada pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), manakala satu lagi pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(d) yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan hukuman sebat. 

Mahkamah juga boleh menjatuhkan hukuman yang lebih berat sekiranya didapati kesalahan itu melibatkan penyalahgunaan hubungan kepercayaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin, memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 selain mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis pada awal setiap bulan serta tidak menghubungi atau mengganggu mangsa sepanjang prosiding kes berlangsung.

Peguam bela, Aliff Aiman Rusli, bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan memaklumkan bahawa anak guamnya pernah mengalami strok ringan, menanggung ibunya yang berusia 70 tahun serta isteri yang tidak bekerja, selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan menyerah diri secara sukarela bagi membantu siasatan polis.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin tempatan yang bukan terdiri daripada ahli keluarganya.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan melapor diri di balai polis pada awal setiap bulan sehingga kes selesai, serta dilarang menghampiri, menghubungi atau mengganggu mangsa, ibu mangsa, ahli keluarga mereka mahupun mana-mana saksi pendakwaan melalui apa-apa cara sekalipun.

Mahkamah menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen berkaitan prosiding. - Getaran, 7 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved