Pengarah Maju Holdings, Abu Sahid hadapi perbicaraan kes pecah amanah, pengubahan wang haram selama 21 hari

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 2:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengarah Maju Holdings, Abu Sahid hadapi perbicaraan kes pecah amanah, pengubahan wang haram selama 21 hari Image from: Pengarah Maju Holdings, Abu Sahid hadapi perbicaraan kes pecah amanah, pengubahan wang haram selama 21 hari amree20/11/2026 - 14:10 Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 20 Nov — Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed dan isterinya, Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi, akan menghadapi perbicaraan selama 21 hari berhubung kes pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram bermula Julai hingga Oktober 2027.

 

Lapor Bernama, Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan dari 21 hingga 23 Julai; 18 hingga 20 dan 27 Ogos; 6 hingga 9, 20, 21 dan 24 September; serta 4 hingga 7 dan 11 hingga 13 Oktober tahun depan.

 

Pada prosiding sebutan kes pada Jumaat, Timbalan Pendakwa Raya, Esther Jacyntha menyerahkan sejumlah tiga jilid dokumen kepada pihak pasukan pembelaan, sekali gus melengkapkan proses penzahiran dokumentasi perbicaraan tersebut.

 

Mahkamah turut menetapkan 22 Mac 2027 sebagai tarikh sebutan yang seterusnya bagi kes berkenaan. Maju Holdings merupakan syarikat pemegang konsesi lebuh raya Maju Expressway (MEX) menghubungkan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

 

Abu Sahid berdepan lima pertuduhan menyalahgunakan dana syarikat berjumlah lebih RM458.5 juta yang diamanahkan kepadanya, membabitkan akaun bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana antara 3 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019.

 

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

 

Abu Sahid_Bernama
Gambar BERNAMA

 

Beliau turut menghadapi sebanyak 10 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram yang berjumlah RM116.45 juta daripada akaunnya kepada kira-kira lima individu dan empat syarikat pembinaan.

 

Selain itu, Abu Sahid berdepan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram kerana didakwa melupuskan hasil aktiviti haram berjumlah RM22.8 juta melalui pengeluaran tunai menggunakan 15 keping cek daripada akaun banknya antara 4 Mei 2016 hingga 19 September 2018.

 

Sementara itu, Noor Azrina didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM67.14 juta menerusi akaun bank miliknya yang dipindahkan daripada akaun Abu Sahid. Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac hingga 27 November 2017.

 

Tiga pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Abu Sahid serta satu pertuduhan terhadap Noor Azrina dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

 

Jika sabit kesalahan, peruntukan itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. - BERNAMA

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved