
KANGAR: Polis menahan seorang pengarah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini bagi membantu siasatan kes pecah amanah, melibatkan wang berjumlah RM85,468 milik pertubuhan berkenaan.
Ketua Polis Perlis DCP Hamzah Hashim berkata lelaki berusia 31 tahun itu, ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perlis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), 11.05 pagi tadi.
“NGO itu beralamat di Perlis dan semasa tangkapan ini dibuat, suspek dalam perjalanan dari Sabah ke Kuala Lumpur.
“Wang berjumlah RM85,468 itu dipercayai dipindahkan menerusi 32 transaksi ke akaun peribadi suspek dalam tempoh antara 2 Mac hingga 20 Julai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Hamzah berkata penahanan lelaki itu, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, manakala permohonan reman terhadap suspek, akan dibuat esok.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pecah amanah, khususnya yang melibatkan penyalahgunaan kedudukan, kuasa dan kepercayaan yang diberikan.






