Pengarah syarikat, broker ditahan susulan rampasan 1.16 tan ketamin di Indonesia

27 Oct 2026 • 3:28 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Anggota polis Indonesia mengawal sebuah kapal tangki yang dipasang pita keselamatan polis.

Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung rampasan 1.16 tan dadah jenis ketamin dalam sebuah kapal tangki, MT Global 168, oleh pihak berkuasa Indonesia di perairan Tanjung Balai Asahan, pada 20 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua individu terbabit ditahan pada 25 Oktober lalu susulan siasatan lanjut yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, seorang daripada suspek merupakan pengarah syarikat Makmur Marine Petroleum Sdn Bhd, iaitu pemilik asal kapal MT Global 168, manakala seorang lagi bertindak sebagai ejen atau broker bagi urusan penjualan kapal berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kapal tersebut dibeli pada April 2026 untuk tujuan penjualan semula selepas kerja baik pulih dilakukan bagi mendapatkan keuntungan.

“Pada 28 Jun 2026, kapal MT Global 168 telah dijual kepada Golden Dolphin Co. Ltd yang beralamat di Yangon, Myanmar melalui ejen atau broker,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Hussein berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 26 Oktober hingga 1 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 34 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, siasatan turut mengenal pasti tiga lagi individu yang dipercayai warga Singapura, Taiwan dan Myanmar yang kini dikehendaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau menegaskan siasatan menyeluruh akan diteruskan bagi memastikan semua petunjuk diteliti dan pihak yang mempunyai kaitan dengan kes itu dikenal pasti.

“Sebarang tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan berdasarkan bukti yang diperoleh serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JSJN akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia serta agensi penguatkuasaan berkaitan, khususnya dalam perkongsian maklumat risikan dan pengesanan individu yang disyaki terlibat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah boleh menyalurkannya melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.

The post Pengarah syarikat, broker ditahan susulan rampasan 1.16 tan ketamin di Indonesia appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved