Peniaga ikan intai isteri jiran mandi didenda RM5,000

6 Oct 2026 • 3:31 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Peniaga ikan intai isteri jiran mandi didenda RM5,000

KUALA KRAI – Seorang peniaga ikan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengintai isteri kepada jirannya sedang mandi secara berulang kali pada hujung bulan lalu.

Tertuduh, Tuan Ahmad Farid Tuan Mat, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghendap secara berulang kali dengan cara berlegar-legar di kediaman seorang wanita berusia 26 tahun iaitu mengintai bahagian celahan lantai kayu bahagian bawah rumah.

Kesalahan itu dilakukan dengan niat untuk menyebabkan atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan tersebut menyebabkan mangsa mengalami ketakutan, kerisauan atau bimbang akan keselamatan diri.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di daerah ini kira-kira pukul 11.30 pagi pada 28 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd. Noor manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Farazalila Fauzi.

Terdahulu, Mazlinda mencadangkan agar mahkamah menetapkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan tertuduh.

Farazalila dalam rayuannya memohon denda minimum dengan alasan tertuduh yang masih bujang bekerja sebagai peniaga ikan dengan pendapatan RM50 sehari.

“Tertuduh juga perlu menanggung ibunya berusia 66 tahun yang menghidap kanser. Pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa dan kos semua pihak,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Berdasarkan fakta kes, mangsa ternampak kelibat Tuan Ahmad Farid berada di bawah lantai bahagian dapur rumah sedang mengintai dari arah tersebut. Mangsa mengenali tertuduh kerana lelaki itu tinggal bersebelahan rumahnya.

Ketika wanita itu sedang mandi di dalam tandas, mangsa juga ternampak tertuduh sedang mengintai di celahan ruangan udara di dalam bilik airnya.

Berkaitan kejadian itu, mangsa telah memaklumkan kepada suaminya sebelum lelaki berkenaan memaklumkan kejadian tersebut kepada tertuduh, namun Tuan Ahmad Farid terus melarikan diri. – KOSMO! ONLINE

The post Peniaga ikan intai isteri jiran mandi didenda RM5,000 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved