Pengasas bersama Grab, Anthony Tan dikurnia gelaran Datuk daripada Sultan Selangor

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 12:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengasas bersama Grab, Anthony Tan dikurnia gelaran Datuk daripada Sultan Selangor Image from: Pengasas bersama Grab, Anthony Tan dikurnia gelaran Datuk daripada Sultan Selangor amree13/11/2026 - 12:20 ANTHONY Tan (kanan) bergambar pada istiadat penganugerahan yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, Selangor. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov — Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Grab, Anthony Tan, menerima pengiktirafan diraja apabila dikurniakan gelaran Datuk daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bersempena sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda.

 

Beliau menerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran itu dalam majlis istiadat penganugerahan yang berlangsung sempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 pemerintahan Sultan Sharafuddin di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

 

Menerusi hantaran dalam platform sosial LinkedIn, Tan menzahirkan penghargaan atas pengurniaan tersebut selain mengiktiraf sokongan terhadap pengorbanan isterinya, Chloe Tong, sepanjang perjalanan kerjaya dan pembangunan perniagaan beliau selama ini.

 

Tan mengasaskan Grab bersama-sama Tan Hooi Ling di Malaysia pada 2012 selepas kedua-duanya bertemu ketika mengikuti pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Harvard Business School, Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS) pada 2011.

 

Syarikat tersebut pada asalnya hanya beroperasi sebagai perkhidmatan e-panggilan MyTeksi sebelum berkembang lebih luas ke pasaran rantau Asia Tenggara dan kemudiannya mereka memutuskan untuk memindahkan ibu pejabatnya ke Singapura pada 2016.

 

Grab_Bernama
Gambar hiasan - BERNAMA

 

Grab selepas itu memperluaskan lagi perniagaannya kepada perkhidmatan penghantaran makanan, pembayaran digital dan transaksi kewangan sebelum disenaraikan di bursa Nasdaq di AS yang terkenal dengan banyak syarikat teknologi global, pada Disember 2021.

 

Ketika ini, Grab beroperasi di sejumlah lapan negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Kemboja dan Myanmar.

 

Kumpulan berkenaan turut mempunyai kepentingan secara langsung dalam tiga bank digital iaitu GXS Bank di Singapura, GXBank di Malaysia dan Superbank di Indonesia.

 

Antara pengambilalihan utama Grab termasuk operasi Uber di Asia Tenggara, e-dompet Indonesia OVO, rangkaian pasar raya Malaysia Jaya Grocer serta platform pelaburan digital berpangkalan di Amerika Syarikat, Stash Financial.

 

Pada September 2026, Grab turut bersetuju mengambil alih 60% kepentingan dalam Atome Financial menerusi urus niaga bernilai AS$1.49 bilion (RM6.08 bilion), tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan.

 

Dari sudut prestasi kewangan, Grab mencatatkan keuntungan bersih tahunan penuh pertamanya sebanyak AS$200 juta (RM816juta) pada 2025, berbanding kerugian bersih AS$158 juta (RM645 juta) pada 2024, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam pertumbuhan syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved