
BEIJING: China menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap pengasas gergasi hartanah bermasalah Evergrande dan mendenda kumpulan itu 15.82 bilion (RM9.7 bilion) pada Khamis atas kesalahan termasuk penipuan, lima tahun selepas syarikat berkenaan gagal membayar hutangnya.
Kumpulan Evergrande pernah menjadi wajah industri hartanah China, menikmati ledakan pasaran hartanah selama berdekad-dekad sambil menjual impian memiliki rumah kepada rakyat.
Namun, akses syarikat itu kepada kredit menyusut secara mendadak selepas kerajaan memperkenalkan sekatan terhadap pinjaman berlebihan dan spekulasi.
Syarikat itu gagal membayar hutangnya pada 2021 selepas menghadapi kesukaran untuk membayar balik pemiutang.
Pada Khamis, sebuah mahkamah di selatan China mendenda pengasas syarikat berkenaan dan cabang hartanahnya sejumlah 15.82 bilion.
Mahkamah Pertengahan Shenzhen di wilayah Guangdong berkata dalam hantaran di akaun WeChat bahawa ia menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap pengasas Evergrande, Xu Jiayin, yang juga dikenali sebagai Hui Ka Yan dalam bahasa Kantonis, atas kesalahan termasuk penipuan kewangan berskala besar.
“Xu Jiayin dijatuhi hukuman atas beberapa kesalahan dan didenda, menerima hukuman penjara seumur hidup, dilucutkan hak politik seumur hidup serta semua harta peribadinya dirampas,” kata mahjkamah itu.
Antara 2016 dan 2021, Evergrande dan Jiayin sebagai ketua syarikat itu melanggar undang-undang negara dengan melakukan penipuan kewangan berskala besar secara berterusan dan menggunakan kaedah lain untuk menggelembungkan aset serta menyembunyikan liabiliti, kata mahkamah.
Mahkamah menambah bahawa pihak berkenaan mendapat kawalan terhadap institusi kewangan melalui rasuah, tetapi tidak menamakan institusi tersebut.
Jiayin mengaku bersalah pada April terhadap pertuduhan yang turut merangkumi pecah amanah dan rasuah, kata mahkamah ketika itu.
Keputusan mahkamah itu menutup kisah kejatuhan luar biasa Jiayin, 67, daripada kedudukan yang sangat berpengaruh.
Beliau pernah menjadi antara bilionair terkaya di China dan anggota badan penasihat politik tertinggi Parti Komunis. – AFP
The post Pengasas gergasi hartanah dijel seumur hidup selepas syarikat gagal bayar hutang appeared first on Utusan Malaysia.


