
PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan menerima tamparan awal dalam kempen Piala Dunia 2026 apabila tewas 1-5 kepada juara bertahan, Jerman dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Belgium, hari ini.
Malaysia yang turun dengan misi mencuri mata berdepan lawan berstatus gergasi dunia bagaimanapun gagal menyesuaikan diri dengan rentak pantas permainan Jerman yang mengasak bertali arus sejak wisel permulaan.
Tekanan berterusan pasukan Eropah itu membuahkan hasil apabila Jakob Brilla membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit keempat sebelum Christopher Ruhr menggandakan kelebihan seminit kemudian.
Belum sempat skuad negara menyusun semula permainan, Justus Weigand menambah derita Malaysia dengan gol ketiga pada minit kelapan untuk meletakkan Jerman selesa mendahului 3-0.
Ketinggalan tiga gol tidak mematahkan semangat anak buah Brendon Carolan yang tampil lebih tersusun selepas rehat dan cuba meningkatkan tempo permainan bagi mencari gol kebangkitan.
Usaha tersebut akhirnya berhasil apabila Azrai Aizad Abu Kamal menyempurnakan peluang menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-40 untuk mengurangkan defisit kepada 1-3.
Gol itu memberikan sedikit harapan buat Speedy Tigers, namun pengalaman dan ketajaman juara bertahan itu menjadi pemisah apabila Justus Warweg menjaringkan gol keempat Jerman pada minit ke-45.
Paul-Philipp Kaufmann kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Jerman menerusi jaringan kelima pada minit ke-53 untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukan ranking No.5 dunia itu.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia memulakan kempen Kumpulan B tanpa sebarang mata dan perlu segera memperkemaskan kelemahan yang ditunjukkan, terutama di bahagian pertahanan.
Skuad kendalian Carolan kini tidak mempunyai banyak masa untuk meratapi kekalahan itu kerana satu lagi cabaran penting menanti apabila mereka dijadualkan menentang Perancis dalam aksi kedua kumpulan, Isnin ini,sebelum melengkapkan saingan Kumpulan B bertemu Belgium tiga hari kemudian.-UTUSAN
The post Piala Dunia: Speedy Tigers tewas 5-1 ditangan Jerman appeared first on Utusan Malaysia.






