Pengasas produk pamer kekayaan luar biasa di media sosial dalam 'radar' polis

LocalBusiness & Finance
9 Jul 2026 • 9:23 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pengasas produk pamer kekayaan luar biasa di media sosial dalam 'radar' polis
Polis sedang memantau aktiviti segelintir pengasas produk kosmetik dan jualan dalam talian yang mempamerkan kekayaan luar biasa di media sosial. Gambar hiasan

KOTA BHARU - Polis sedang memantau aktiviti segelintir pengasas produk kosmetik dan jualan dalam talian yang mempamerkan kekayaan luar biasa di media sosial bagi mengesan sebarang unsur pengubahan wang haram.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata,  walaupun aktiviti jualan golongan itu tidak dikesan melibatkan unsur penipuan, tindakan mempamerkan gaya hidup mewah termasuk wang tunai dalam siaran langsung di media sosial menarik perhatian pihak polis.

Beliau berkata, pemantauan itu dibuat dari aspek kemungkinan berlakunya aktiviti pengubahan wang haram.

"Mereka kini berada dalam radar kami. Kita pantau dari segi pengubahan wang haram. Kalau ada kesalahan, kita akan ambil tindakan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, individu yang disiasat perlu mengemukakan dokumen sokongan termasuk resit dan rekod transaksi bagi menjelaskan sumber kewangan mereka.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, tindakan mempamerkan kekayaan secara berlebihan di media sosial lazimnya bertujuan menarik perhatian orang ramai terhadap produk yang dijual.

"Orang nampak kaya, nampak duit berkepuk-kepuk, jadi mereka fikir produk itu laris dan boleh membawa keuntungan besar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sindiket penipuan atau scammer dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai modus operandi scammer, mengelakkan menjawab panggilan daripada nombor yang tidak dikenali serta menggunakan platform jual beli yang sah dan dipercayai.

"Kalau ada pelaburan yang menjanjikan untung besar dalam masa singkat, itu perlu dicurigai.

"Pegang pepatah orang tua-tua, ‘Bukan senang nak jadi senang’, supaya kita tidak mudah ditipu. Kalau malas sangat membaca, tanyalah ChatGPT bagaimana hendak mengelakkan scammer,” katanya. - Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved