
SEBERANG PERAI – Seorang pengasuh yang juga ibu kepada tiga didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan bayi lelaki berusia 10 bulan sehingga menyebabkan kematian mangsa, minggu lalu.
Tertuduh, Nurfitrah Mohd. Raziff, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Berdasarkan pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa mengabaikan bayi di bawah jagaannya di sebuah kediaman di Sungai Dua di sini, antara pukul 5.40 pagi hingga 10.15 pagi, 19 Oktober lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sekiranya dia memilikinya.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 November ini bagi penyerahan dokumen. -KOSMO! ONLINE
The post Pengasuh dituduh abai bayi 10 bulan hingga maut appeared first on Kosmo Online.






