
IPOH: Pegawai kanan polis, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak yang didakwa melanggar pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie hingga maut tiga tahun lalu, dihukum penjara tujuh tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Pengakuan bersalah itu dibuat Mohd. Nazri, 47, selepas pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.
Terdahulu, Datuk Bhupindar Singh meminda pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) yang membawa hukuman mati kepada Seksyen 304(b) kanun sama (menyebabkan kematian tanpa niat).
Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati wujud kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesalahan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
Pada prosiding di akhir kes pendakwaan, Bhupindar Singh memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh lelaki terbabit ditangkap pada 15 Disember 2023.
Beliau turut memerintahkan Mohd. Nazri membayar pampasan sebanyak RM50,000 kepada bapa mangsa, Muhd. Zamrie Zainal Abidin, 58, atau dikenakan hukuman penjara selama setahun, sekiranya gagal berbuat demikian.
“P7 dan P8 (motosikal dan kereta) dipulangkan kepada pemilik atau wakil masing-masing selepas tamat tempoh rayuan manakala eksibit lain kecuali dokumen hendaklah diserahkan kepada pegawai penyiasat melalui pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut selepas tamat tempoh rayuan,” ujar beliau.
Pada 17 Januari 2025, pihak pendakwaan selesai memanggil 33 saksi termasuk kakak dan bapa kandung Muhammad Zaharif Affendi sejak kes itu mula dibicarakan pada 5 November 2024.
Turut dipanggil memberi keterangan ialah tujuh saksi kanak-kanak yang memberi keterangan secara tertutup.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala pasukan pembelaan pula dibarisi peguam-peguam bela, Datuk M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Pada 18 Disember 2023, Mohd. Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif, 17, dengan mengetahui perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati, Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.-UTUSAN.
The post Pertuduhan dipinda, Mohd. Nazri dipenjara tujuh tahun enam bulan appeared first on Utusan Malaysia.





