Pengasuh tak mengaku abai bayi hingga maut

LocalFamily & Parenting
29 Oct 2026 • 3:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pengasuh tak mengaku abai bayi hingga maut

BUTTERWORTH: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang bayi lelaki berusia 10 bulan sehingga menyebabkan kematian, minggu lepas.

Tertuduh, Nurfitrah Mohd Raziff, 25, yang juga ibu kepada tiga cahaya mata membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengabaikan bayi di bawah jagaannya di sebuah kediaman di Sungai Dua di sini, antara pukul 5.40 pagi hingga 10.15 pagi pada 19 Oktober lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim pada mulanya enggan membenarkan tertuduh diikat jamin. Namun, beliau bersetuju sekiranya jaminan tersebut disertakan dengan beberapa syarat iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah selain melapor diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

Sementara itu, peguam tertuduh, Y. Yogeswaran pula mahu mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan mengambil kira pendapatan anak guamnya yang kurang daripada RM2,000 sebulan. Katanya, tertuduh juga perlu menanggung keluarga termasuk tiga anak dan telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport miliknya jika ada. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 November depan bagi tujuan serahan dokumen.

Dalam kejadian tersebut, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke klinik selepas ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya ketika berada di rumah pengasuhnya kira-kira pukul 9.50 pagi.

Susulan kejadian itu, pengasuh terbabit direman selama tujuh hari bermula 20 Oktober lalu bagi membantu siasatan.-UTUSAN

The post Pengasuh tak mengaku abai bayi hingga maut appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved