Pengawal Keselamatan Dipenjara 8 Bulan, Denda RM50,000 Hina Agong 

LocalPolitics
24 Jun 2026 • 4:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pengawal Keselamatan Dipenjara 8 Bulan, Denda RM50,000 Hina Agong 

KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuching hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi Facebook.

Hakim Iris Awen Jon menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Raden Mohamad Norhakim, 46, selepas dia mengaku salah atas pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh juga diperintahkan menjalani hukuman penjara berkenaan bermula hari ini, manakala telefon bimbit yang digunakan untuk melakukan kesalahan tersebut dilucut hak kepada kerajaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar mewujudkan dan memulakan hantaran komunikasi yang bersifat jelik menerusi akaun Facebook menggunakan nama “Raden Mohamad Norhakim”.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium berhampiran Lorong Lapangan Terbang, Kuching, kira-kira jam 7.27 pagi, 12 Februari tahun lalu.

Hantaran berkenaan dipercayai mengandungi kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong, selain turut mengeluarkan kata-kata bersifat merendahkan pemimpin negara.

Kandungan tersebut dikesan pada hari sama oleh seorang Penolong Pengarah Jabatan Moderasi Kandungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang sedang bertugas di Cyberjaya.

Susulan penemuan itu, pihak berkuasa menjalankan siasatan sebelum sepasukan pegawai MCMC menyerbu kediaman tertuduh pada 17 Jun lalu.

Hasil siasatan mendapati akaun Facebook terbabit masih aktif dalam telefon bimbit yang dirampas daripada tertuduh. 

Pegawai penyiasat turut berjaya mendapatkan semula hantaran berkenaan yang kemudiannya dijadikan sebahagian daripada bahan bukti pendakwaan.

Ketika prosiding rayuan hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang lebih ringan.

Dia memaklumkan tindakannya itu dipengaruhi oleh perbincangan dan komen yang dibaca menerusi media sosial. - Getaran, 24 Jun 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved