Pengawal keselamatan warga Singapura hina Islam dipenjara 14 hari, denda RM7,000

21 Aug 2026 • 3:24 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Pengawal keselamatan warga Singapura hina Islam dipenjara 14 hari, denda RM7,000

Majistret A. Shaarmini memerintahkan Mohamed Anim Atam, 56, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan pada 18 Ogos lepas.

JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan warga Singapura dihukum penjara 14 hari dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menghina agama Islam, bulan lepas.

Majistret A. Shaarmini memerintahkan Mohamed Anim Atam, 56, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan pada 18 Ogos lepas.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama mana-mana orang dengan menyebut perkataan berunsur penghinaan terhadap agama Islam yang didengari seorang lelaki.

Kesalahan didakwa dilakukan dari Jalan Tun Razak hingga Jalan Meldrum di sini, kira-kira 5 petang pada 30 Julai lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menyebut kata-kata berunsur penghinaan terhadap al-Quran dan agama Islam ketika menaiki sebuah kenderaan e-hailing.

Pengadu yang mendengar kata-kata tertuduh kemudian memuat naik rakaman video berkenaan ke beberapa akaun media sosial miliknya sebelum membuat laporan polis pada 31 Julai lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kes berkenaan tular di media sosial serta melibatkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan menghidap tekanan darah tinggi selain sedang melalui proses perceraian yang memerlukannya hadir di Mahkamah Syariah di Singapura.

Terdahulu, video membabitkan warga republik itu yang didakwa menghina agama Islam ketika menaiki sebuah kereta e-hailing di sekitar bandar raya ini tular di media sosial.

Susulan kejadian itu, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan bantuan Polis Singapura.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved