
JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan warganegara Singapura dipenjara 14 hari dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan terhadap agama Islam, bulan lalu.
Majistret A. Shaarmini menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohamed Anim Atam, 56, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan tiga bulan penjara, sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama mana-mana orang menyebut perkataan berunsur penghinaan terhadap agama Islam yang telah didengari oleh seorang lelaki.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dari Jalan Tun Razak hingga Jalan Meldrum di sini kira-kira jam 5 petang pada 30 Julai lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kes itu tular di media sosial dan melibatkan isu 3R.
Bagaimanapun dalam rayuannya, lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan memandangkan menghidap penyakit darah tinggi selain dalam proses penceraian yang memerlukannya hadir di Mahkamah Syariah di negaranya.
Terdahulu, sebuah video membabitkan warga republik itu yang menghina agama Islam ketika menaiki sebuah kereta e-hailing di sekitar bandar raya ini tular di laman sosial.
Susulan itu, suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan bantuan Polis Singapura.
Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Singapura dijel 14 hari, denda RM7,000 hina agama Islam appeared first on Kosmo Digital.






