
JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan warga Singapura dipenjara 14 hari dan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menghina agama Islam, bulan lalu.
Majistret A. Sharmini menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamed Anim Atam, 56, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Lelaki tersebut didakwa sengaja melukakan perasaan agama dengan membuat kenyataan menghina al-Quran kira-kira pukul 5 petang bermula dari Jalan Tun Razak hingga Jalan Meldrum, di sini pada 30 Julai lalu.
Tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 298 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Eizlan Azhar memohon kepada mahkamah supaya mengenakan satu bentuk hukuman yang setimpal setelah kes tersebut tular di media sosial dan mendapat perhatian umum kerana membabitkan 3R.
Mengikut fakta kes, lelaki warga Singapura itu dengan sengaja menyebut perkataan-perkataan itu ketika menaiki kenderaan e-hailing sebelum pemandu itu memuat naik video perbualan tersebut di media sosial.
Sebelum ini, tular video berdurasi dua minit 20 saat membabitkan warga republik itu yang menghina agama Islam ketika menaiki sebuah kereta e-hailing di sekitar bandar raya ini sebelum dia ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan bantuan Polis Singapura. – UTUSAN
The post Pengawal keselamatan Singapura hina agama dipenjara dan denda appeared first on Utusan Malaysia.






