Pengawal Pengiring Kenamaan Mengaku Salah Cederakan Pemandu E-hailing OKU

LocalPolitics
4 Nov 2024 • 1:03 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Nasib seorang pemandu e-hailing berstatus orang kurang upaya (OKU) akhirnya terbela selepas seorang pengawal pengiring kenamaan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Muhammad Taufik Ismaill dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah selepas pertuduhan dia mencederakan pemandu e-hailing dalam kejadian pada Mei lalu dibacakan di hadapan Majistret, Farah Nabihah Muhammad Dan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh itu didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Ong Ing Keong, 47, di hadapan sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 11.40 pagi, 28 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun, atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

image is not available

Sebelum ini, media melaporkan pemandu e-hailing terbabit mendakwa dipukul seorang pengiring keselamatan bagi rombongan kenamaan di lobi hotel ternama sebelum menarik balik laporan polis dibuatnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, individu berkenaan membuat laporan polis keduanya pada 28 Mei lalu, untuk menarik balik laporan pertamanya yang dibuat pada hari sama.

Susulan itu, polis merakam keterangan 12 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan, termasuk juruiring terbabit serta pekerja hotel di lokasi kejadian berlaku.

Turut diambil keterangan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota juruiring kepada kenamaan, rakan pengadu, doktor dan pengarah operasi Grab.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.