hamden26/10/2026 - 16:24 Kredit gambar/ LADA Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt - Kerajaan memperketat kemudahan pengecualian duti dan cukai di Pulau Langkawi, termasuk mengehadkan pengecualian bagi kenderaan bermotor bernilai tidak melebihi RM300,000, bagi membendung penyalahgunaan insentif serta memastikan manfaatnya terus dinikmati penduduk tempatan dan perusahaan setempat.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, langkah itu antara ketetapan dasar yang dilaksanakan kerajaan bagi melindungi kepentingan penduduk Langkawi, selain memastikan kemudahan bebas cukai yang diberikan tidak disalahgunakan sehingga menyebabkan ketirisan hasil negara.
Beliau menegaskan status Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) masih kekal berkuat kuasa walaupun terdapat perubahan dasar berkaitan pengecualian duti dan cukai bagi barangan tertentu pada 2021 dan 2026.
Sebagai contoh katanya, had pengecualian duti dan cukai bagi kenderaan bermotor bernilai tidak melebihi RM300,000 yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 diperkenalkan bagi menangani penyalahgunaan kemudahan pengecualian bagi kenderaan mewah yang dimiliki golongan berkemampuan, termasuk jenama Ferrari, Bentley dan Rolls-Royce.
Menurutnya, kerajaan berpandangan had RM300,000 itu munasabah dan mencukupi bagi memenuhi keperluan penduduk tempatan, pengusaha kereta sewa, teksi serta kenderaan komersial.
Tambahnya, had berkenaan turut meliputi pelbagai model kenderaan eksekutif dan SUV premium, sama ada baharu mahupun terpakai, termasuk Mercedes-Benz S-Class, Mercedes-AMG, BMW Siri 3, Mercedes-Benz GLB 200, GLB 250, GLC 300 AMG Line dan A180.
"Oleh itu, kerajaan berpandangan penetapan had tersebut tidak memberikan kesan negatif yang besar kepada majoriti penduduk dan pengusaha tempatan di Langkawi," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Mohd Suhaimi bin Abdullah dalam sidang Kamar Khas di Parlimen hari ini.

Suhaimi bertanyakan tentang isu taraf bebas cukai pulau Langkawi susulan pengenalan beberapa peraturan baharu yang dilihat mampu menjejaskan status pulau berkenaan.
Chin Tong berkata, selain kenderaan bermotor, kerajaan turut menjadikan rokok dan produk tembakau sebagai barangan bercukai di semua PBC mulai 1 Julai 2021.
Langkah itu bertujuan memperketat kawalan dan membendung aktiviti penyeludupan rokok yang mengambil kesempatan terhadap status serta kemudahan pengecualian cukai di kawasan bebas cukai untuk mengelakkan pembayaran duti dan cukai yang sepatutnya.
Secara asasnya, semua barangan di PBC dikecualikan daripada cukai di bawah Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Cukai Jualan 2018 dan Akta Cukai Perkhidmatan 2018, kecuali barangan atau perkhidmatan tertentu yang ditetapkan sebagai bercukai oleh Menteri Kewangan di bawah undang-undang berkenaan.
Pengenaan duti dan cukai terhadap barangan tertentu itu bertujuan melindungi perusahaan serta produk keluaran tempatan Langkawi.
Had pembelian bebas cukai dinaikkan kepada RM10,000
Chin Tong berkata, dalam usaha mengimbangi langkah kawalan itu dengan keperluan merancakkan ekonomi dan pelancongan, kerajaan menerusi Belanjawan 2027 mengumumkan kenaikan had nilai kelayakan pembelian barangan bebas cukai bagi pelawat dan pelancong daripada RM1,000 kepada RM10,000.
Kenaikan sebanyak 900% itu merupakan peningkatan ketara berbanding semakan terakhir pada 2020 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi, apabila had pembelian dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000, bersamaan peningkatan 100%.
Pada masa sama, syarat penginapan minimum selama 48 jam ditetapkan bagi merancakkan aktiviti perhotelan, inap desa, pengangkutan serta industri makanan dan minuman, sekali gus memperluas manfaat ekonomi kepada keseluruhan ekosistem pelancongan pulau itu.
Kedua-dua kemudahan berkenaan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027.

Pengecualian duti import bagi produk tempatan diperluas
Chin Tong berkata, kerajaan turut mengemas kini dan memperluas senarai barangan buatan Langkawi yang layak menikmati pengecualian duti import apabila dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam, daripada 23 kepada 29 barangan.
Langkah itu bertujuan menyokong pembangunan usahawan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Langkawi, dengan peluasan kemudahan berkenaan turut berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027.
Selain insentif tersebut, kerajaan memperuntukkan RM750 juta bagi menyokong persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026, termasuk pembangunan produk geopelancongan di Kilim Geoforest Park, denai kembara Gua Selat Panchor dan geotrail pendakian di Langkawi UNESCO Global Geopark.
Status bebas cukai kekal, ketibaan pelancong meningkat
Chin Tong berkata, sebagai rekod, Langkawi diisytiharkan sebagai PBC pada 1 Januari 1987 dan kerajaan memberi jaminan bahawa perubahan dasar pengecualian duti dan cukai pada 2021 serta 2026 tidak menjejaskan jumlah ketibaan pelancong ke Langkawi.
Berdasarkan data portal Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), pulau itu merekodkan ketibaan seramai 12.61 juta pelancong bagi tempoh 2021 hingga 2025, meningkat 194% daripada 1.09 juta pada 2021 kepada 3.21 juta pada 2025.
Bagi 2026, seramai 1.8 juta pelancong mengunjungi Langkawi sehingga Ogos, dengan majoritinya terdiri daripada pelancong tempatan.
Sehubungan itu, kerajaan menyeru kerjasama semua pihak, khususnya Kerajaan Negeri Kedah dan LADA sebagai agensi yang bertanggungjawab merancang serta membangunkan Langkawi, bagi terus memperkukuh daya tarikan pulau itu kepada pelancong antarabangsa. - DagangNews.com


