LHDN pulangkan RM17.15 bilion cukai terlebih bayar setakat September 2026 - MOF

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 4:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LHDN pulangkan RM17.15 bilion cukai terlebih bayar setakat September 2026 - MOF Image from: LHDN pulangkan RM17.15 bilion cukai terlebih bayar setakat September 2026 - MOF hamden14/10/2026 - 16:10 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt – Kerajaan telah melunaskan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM17.15 bilion melibatkan 3.23 juta kes pembayar cukai bagi tempoh sehingga 30 September 2026.

 

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, jumlah itu merangkumi bayaran balik sebanyak RM6.38 bilion kepada 3.1 juta pembayar cukai individu, manakala RM8.95 bilion dibayar kepada lebih 130,000 pembayar cukai syarikat, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Menurut kementerian itu, pelbagai strategi lebih adil dan saksama telah dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) bagi memperkukuh pengurusan bayaran balik lebihan cukai.

 

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan peruntukan bayaran balik diagihkan secara teratur dan berkesan berdasarkan tempoh tunggakan kes, selain memberi keutamaan kepada PMKS serta syarikat yang berdepan masalah aliran tunai.

 

"Kerajaan turut komited untuk memastikan semua tunggakan bayaran balik diselesaikan sepenuhnya dengan segera, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai dan melindungi hak pembayar cukai selaras dengan agenda reformasi fiskal Kerajaan MADANI," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

 

Kementerian itu menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai tempoh masa penyelesaian bayaran balik lebihan cukai serta pampasan dua peratus kepada pembayar cukai korporat bagi tahun taksiran 2025.

 

Beliau turut meminta penjelasan mengenai jumlah bayaran balik cukai yang masih tertunggak mengikut tahun taksiran serta bilangan pembayar cukai yang terjejas.

 

Pampasan 2 Peratus

Kementerian Kewangan berkata, jumlah bayaran balik lebihan cukai pada 2025 mencecah RM22.45 bilion, melibatkan 3.7 juta kes pembayar cukai, iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh lima tahun terdahulu.

 

Selain bayaran balik lebihan cukai, kerajaan turut membayar pampasan sebanyak dua peratus daripada amaun cukai yang lewat dibayar balik.

 

Bagi 2025, sebanyak RM23.64 juta pampasan telah dibayar melibatkan 187,381 kes, manakala bagi tempoh sehingga 30 September 2026, jumlah pampasan meningkat kepada RM109 juta melibatkan lebih 270,000 kes pembayar cukai.

 

Kementerian berkata, komitmen pembayaran pampasan itu akan terus dipatuhi selaras dengan kewajipan di bawah undang-undang percukaian.

 

Pembayar cukai yang layak tetapi masih belum menerima pampasan berkenaan boleh menghubungi LHDN untuk membuat semakan lanjut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved