amree18/09/2026 - 12:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept — Pengeluaran gas Sabah dijangka naik hampir dua kali ganda kepada 1,350 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) menjelang 2030, berbanding 700 MMscfd ketika ini, menerusi pelaksanaan tujuh projek pembangunan luar pesisir baharu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelan pengembangan itu membabitkan pembangunan empat medan gas baharu oleh dua syarikat minyak antarabangsa dan empat syarikat minyak tempatan, sekali gus meningkatkan bekalan gas untuk keperluan industri serta tenaga negeri dalam jangka panjang.
Beliau berkata, strategi berkenaan menyediakan pelan penyampaian yang jelas bagi memastikan bekalan gas mencukupi untuk menyokong agenda perindustrian Sabah.
"Strategi ini menyediakan pelan penyampaian yang jelas bagi menjamin bekalan gas yang diperlukan untuk menyokong aspirasi perindustrian Sabah," katanya dalam satu program di Kota Kinabalu.
Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan Pelan Bekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang 2025 serta Pelan Pembangunan Gas Sabah Timur, yang disediakan secara bersama oleh SMJ Energy dan PETRONAS.
Menurut Hajiji, peningkatan pengeluaran gas itu akan menyokong operasi kemudahan PETRONAS Floating Liquefied Natural Gas 3 (PFLNG3), selain membekalkan gas kepada loji janakuasa baharu dan kawasan perindustrian di sepanjang Pantai Barat Sabah.

Antara kawasan yang bakal mendapat manfaat daripada peningkatan bekalan gas itu termasuk Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Terminal Kimanis (SOGT), Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) serta Labuan, sekali gus menyokong aktiviti industri berintensifkan tenaga.
"Lebih penting, pelan berkenaan turut mengesahkan pembangunan kluster Mutiara berhampiran Sandakan bagi membekalkan gas kepada loji janakuasa berasaskan gas baharu di Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park.
Bekalan gas dari medan berkenaan juga ujar Hajiji, akan digunakan untuk membantu peralihan stesen janakuasa Batu Sapi dikendalikan Sabah Electricity daripada penggunaan diesel kepada gas.
Perkembangan tersebut menjadi penting kerana buat pertama kali kawasan Pantai Timur Sabah bakal menjana tenaga elektrik berasaskan gas secara sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penghantaran tenaga dari Pantai Barat.
Pada masa sama, pembangunan infrastruktur gas dan tenaga di Pantai Timur dijangka membuka banyak aktiviti perindustrian berasaskan gas, selaras usaha Sabah memperkukuh kapasiti tenaga serta memenuhi keperluan pertumbuhan industri negeri menjelang 2030. - DagangNews.com





