
KUALA LUMPUR: Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) negara dijangka kekal kukuh tahun ini, dengan pengeluaran mencecah 12.6 juta tan bagi tempoh lapan bulan pertama 2026 manakala eksport minyak sawit melepasi 10.4 juta tan, meningkat 8.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, industri sawit berada pada landasan yang baik dengan usaha pemasaran agresif oleh pemain industri, lebih-lebih lagi sasaran pengeluaran tahun ini ditetapkan lebih rendah.
“Kami menjangkakan ada peningkatan, tetapi ini baru bulan ke-10 dan masih ada dua bulan lagi.
“Saya melihatnya secara positif dengan pemasaran secara agresif oleh industri, sekurang-kurangnya kita dapat setara dengan catatan sebelum ini,” katanya pada sidang media Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) Kuala Lumpur 2026, di sini hari ini.
Katanya, pengeluaran MSM negara pada 2025 mencatat rekod 20.28 juta tan, meningkat 4.9 peratus dan buat kali pertama melepasi paras 20 juta tan, sementara eksport minyak sawit serta produk berasaskan sawit menjana kira-kira AS$28.1 bilion.
“Bagi memastikan prestasi itu berterusan, kementerian turut membantu memasarkan produk sawit ke luar negara menerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), selain menggalakkan industri lebih agresif di pasaran.
“Strategi memperluas pasaran tersebut juga mula menunjukkan hasil dan dalam lapan bulan pertama 2026, eksport ke Asia Barat dan Afrika Utara meningkat 23 peratus, benua Amerika (15 peratus), Asia Selatan (11 peratus) dan Afrika Sub-Sahara (10 peratus), berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Noraini menegaskan industri perlu beralih kepada produk bernilai tinggi untuk meningkatkan pulangan eksport negara.
Menurutnya, keluasan tanah pertanian tidak boleh ditambah lagi kerana sudah mencapai paras maksimum di bawah peraturan dan perjanjian sedia ada dan ini menyebabkan peningkatan nilai eksport hanya boleh dicapai menerusi nilai tambah sahaja.
“Kita boleh menumpukan kepada bahan-bahan dan menambah baik produk sedia ada. Ini secara langsung menambah nilai eksport negara, dan apabila nilai eksport meningkat, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) juga akan meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, Noraini berkata, kerajaan tiada pelan pelaburan khusus dan tiada jumlah pelaburan tertentu, sebaliknya industri digalakkan memberi tumpuan kepada produk bernilai tinggi, termasuk kosmetik.
Tambahnya, bahan api penerbangan lestari (SAF) merupakan salah satu fokus kementerian dan industri digalakkan melabur dalam bidang berkenaan. – UTUSAN
The post Pengeluaran minyak sawit dijangka kekal kukuh tahun ini appeared first on Utusan Malaysia.






