
BANGKOK – Kerajaan Thailand akan menghentikan serta-merta pengeluaran permit senjata api baharu selepas insiden tembakan minggu lalu yang menyaksikan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun membunuh lapan orang sebelum menembak matinya sendiri, lapor stesen berita BBC.
Pemilik senjata api sedia ada dilarang daripada membawa senjata mereka di tempat awam.
Negara Asia Tenggara ini mempunyai salah satu kadar pemilikan senjata api awam tertinggi di rantau ini, dengan sekitar 10.3 juta senjata api berada dalam pegangan orang awam, serta kadar jenayah senjata api yang tinggi.
Sebagai maklum balas terhadap insiden tembakan baru-baru ini, Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul telah berjanji untuk meluluskan undang-undang kawalan senjata api baharu yang ketat dengan hukuman yang berat, sambil menggantung permit baharu buat sementara waktu.
Kerajaan juga sedang mempertimbangkan langkah-langkah untuk memujuk pemilik senjata api tanpa lesen yang dianggarkan sekitar empat juta agar menyerahkan senjata tersebut susulan insiden tembakan di sekolah itu.
Anutin berkata. langkah-langkah yang diumumkan akan kekal dilaksanakan sementara kerajaan berusaha meluluskan undang-undang kawalan senjata api baharu, dengan kawalan yang lebih ketat dan hukuman yang jauh lebih berat.
Mereka yang menyokong kawalan senjata api telah menggesa agar penilaian kesihatan mental dijadikan sebahagian daripada proses permohonan permit, dan permit dinilai semula secara berkala. – AGENSI
The post Thailand hentikan pengeluaran permit senjata api baharu serta-merta appeared first on Kosmo Digital.






