
TEHERAN: Pengeluaran senjata dan peralatan pertahanan Iran meningkat dua kali ganda dalam tempoh 12 bulan lalu, kata seorang pegawai kanan negara itu.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Iran, Reza Talaei-Nik berkata, pengeluaran beberapa produk dan peralatan ketenteraan strategik pula meningkat lebih tiga kali ganda sejak bermulanya perang pada penghujung Februari.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama stesen televisyen milik kerajaan, IRIB pada Jumaat malam.
Menurutnya, peningkatan itu dicapai meskipun sebahagian kecil sektor industri pertahanan Iran menjadi sasaran sepanjang perang 12 hari dengan Israel pada Jun tahun lalu.
“Menjadi lebih kuat adalah satu-satunya cara untuk menghadapi kuasa asing yang berusaha menyerang kemerdekaan Iran,” katanya.
Pada 28 Februari, Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan bersama ke atas Teheran dan beberapa bandar lain di Iran, mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei, selain komander tentera dan orang awam.
Iran kemudian melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel serta pangkalan dan aset AS di rantau Teluk.
Gencatan senjata antara pihak yang berperang dicapai pada 8 April.
Pada 18 Jun pula, Iran dan AS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menamatkan konflik di rantau itu di semua medan, termasuk di Lubnan.
Di bawah MoU itu, kedua-dua negara dijadual mengadakan rundingan dalam tempoh 60 hari yang berakhir pada 17 Ogos bagi mencapai persetujuan muktamad.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak gagal mencapai kemajuan mencukupi ke arah perjanjian berikutan ketegangan yang terus meningkat.
The post Pengeluaran senjata Iran meningkat dua kali ganda appeared first on Utusan Malaysia.



