Pengembangan margin, kontrak baharu bantu lonjak prestasi Velesto - penganalisis

LocalBusiness & Finance
28 May 2025 • 3:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengembangan margin, kontrak baharu bantu lonjak prestasi Velesto - penganalisis

image is not available

28/05/2025 - 15:23

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Mei - Velesto Energy Bhd dijangka mampu menghadapi tekanan jangka pendek terhadap kadar sewa pelantar penggerudian minyak melalui pengembangan margin dan peningkatan kontrak baharu, menurut penganalisis.

Firma perkhidmatan penggerudian minyak itu mencatat prestasi suku pertama yang lebih kukuh daripada jangkaan, iaitu 42% daripada unjuran keuntungan tahunan.

Sekurang-kurangnya dua firma penyelidikan menaik taraf penilaian saham Velesto kepada 'beli'.

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), kadar sewaan harian dijangka turun mulai Jun apabila projek lama dengan kadar sewaan tinggi tamat.

"Kami juga menjangka margin keuntungan akan bertambah baik disumbangkan kos operasi dan perbelanjaan tetap yang lebih rendah, serta usaha penjimatan kos yang berterusan," kata HLIB dalam satu laporan.

Saham Velesto naik lebih 20% tahun ini dan mencatat keputusan suku tahunan yang mengatasi jangkaan buat kali keempat berturut-turut.

Prestasi tersebut berbeza dengan kelemahan sektor minyak dan gas secara keseluruhan susulan penurunan harga minyak.

Purata jangkaan semasa menunjukkan keuntungan bersih Velesto bagi tahun 2025 adalah sebanyak RM139 juta.

Ketika ini, saham syarikat itu menerima empat cadangan 'beli' dan tiga saranan 'pegang' daripada penganalisis.

Harga sasaran purata ialah 21 sen sesaham, dengan potensi kenaikan sebanyak 24% dalam masa 12 bulan.

Nilai buku pesanan Velesto hampir berganda kepada RM1.39 bilion, dengan semuanya terdiri daripada kontrak sah.

Selain memperoleh dua kontrak baharu hanya dalam tempoh seminggu ini, syarikat juga sedang membida projek bernilai RM2.8 bilion.

Pelantar Naga 5 dan Naga 8 dijangka memulakan operasi pada Julai 2025, manakala Naga 3, satu-satunya pelantar yang belum beroperasi sepanjang tahun ini, dijangka mendapat projek baharu pada tahun 2026.

Kadar penggunaan armada Velesto dijangka turun kepada 56% pada suku akan datang berbanding 67% sebelum ini.

Namun, CGS International berkata, kadar berkenaan dijangka meningkat semula kepada 78% pada suku berakhir September dan mencecah 83% menjelang akhir 2025.

Firma penyelidikan itu juga menjangka Velesto mungkin membayar dividen sebanyak 2.5 sen sesaham, iaitu melebihi 100% daripada keuntungan bersih dan dua kali ganda daripada 1.25 sen yang dibayar pada 2024.

Ini kerana semua hutang berkaitan pelantar telah pun dibayar dan tiada penyelenggaraan besar dirancang sehingga tahun 2028.

Menurut CGS International, Velesto akan memberi tumpuan kepada aset ringan tanpa memerlukan pelaburan modal yang besar sebagai strategi pertumbuhan, sekali gus membolehkan lebih banyak dana diagihkan sebagai dividen.

Strategi itu dilihat berpotensi meningkatkan semula nilai syarikat. - DagangNews.com

standard