Matrix Concepts rekod jualan hartanah RM1.38 bilion, lebihi sasaran FY25

28 May 2025 • 2:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Matrix Concepts rekod jualan hartanah RM1.38 bilion, lebihi sasaran FY25

image is not available

28/05/2025 - 14:45

Gambar/Matrix Concepts Holdings Bhd Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Mei - Matrix Concepts Holdings Bhd mencatatkan peningkatan 10.4% dalam jualan hartanah baharu kepada RM1.38 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY25), berbanding RM1.25 bilion tahun lalu.

Pencapaian itu melebihi sasaran jualan tahunan syarikat iaitu RM1.3 bilion, didorong oleh permintaan pasaran yang kukuh dan pelancaran projek baharu yang pelbagai.

Antara projek yang mencatat prestasi kukuh adalah pembangunan di Sendayan dan Bandar Seri Impian, serta projek pangsapuri bertingkat tinggi Levia Residences di Lembah Klang.

Angka itu juga termasuk penjualan pertama tanah industri di Malaysia Vision Valley City (MVV City), yang dilihat sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan syarikat.

Sepanjang FY25, Matrix Concepts melancarkan projek bernilai RM1.45 bilion, meningkat hampir 10% berbanding RM1.32 bilion tahun sebelumnya.

Setakat 31 Mac 2025, sebanyak 73% daripada projek yang dilancarkan telah pun terjual, menunjukkan keyakinan tinggi pembeli terhadap projek syarikat.

Pengerusi Eksekutif Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, pencapaian itu menunjukkan pembeli masih yakin dengan projek syarikat sejak hampir 30 tahun lalu.

"Kami komited untuk membina rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki. Ini terus menarik minat pembeli, terutama di Negeri Sembilan, Johor dan Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, FY26 bakal menyaksikan pertumbuhan ketara, dengan sasaran pelancaran projek bernilai RM1.6 bilion, termasuk fasa pertama pembangunan tanah industri di MVV City yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan syarikat.

MVV City, yang meliputi kawasan seluas 964.1 hektar dengan GDV diunjur bernilai RM15 bilion, dijangka memberi sumbangan ketara kepada pendapatan syarikat dalam jangka masa terdekat dan mengukuhkan keyakinan jangka panjang.

Walaupun jualan meningkat, pendapatan syarikat bagi FY25 menurun 11.2% kepada RM1.19 bilion berbanding RM1.34 bilion pada tahun sebelumnya.

Keuntungan bersih turut susut 12% kepada RM214.1 juta, berbanding RM244.3 juta tahun lalu.

Jualan belum ditagih Matrix Concepts pula berjumlah RM1.46 bilion setakat Mac 2025, memberikan jaminan pendapatan kukuh untuk tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang.

Syarikat turut mengumumkan dividen interim suku keempat sebanyak 1.35 sen sesaham, yang akan dibayar pada 10 Julai 2025.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Haslah berkata, Matrix Concepts sedang mengukuhkan kehadirannya di Lembah Klang, terutamanya di Selangor.

Katanya, syarikat juga sedang melabur dalam sektor berpotensi tinggi seperti hospitaliti, pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk menjana pendapatan berulang dan meningkatkan nilai syarikat dalam jangka panjang. - DagangNews.com

standard